Tiga polis cedera dilanggar penagih dadah

Tiga polis cedera dilanggar penagih dadah

SUSPEK yang enggan keluar dari kenderaan berjaya digari, namun pintu keretanya gagal dibuka kerana tersepit dengan kereta polis. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis berjaya memberkas dua lelaki bersama beberapa peket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu, heroin dan ganja selepas berlaku aksi kejar-mengejar antara pihak berkuasa dengan suspek dari Hospital Pakar Putra Melaka sehingga ditahan di hadapan sebuah hotel di Banda Hilir di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian, kereta jenis Honda dinaiki kedua-dua suspek berusia 33 dan 37 tahun itu telah ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Beliau berkata, suspek yang enggan keluar dari kenderaan berjaya digari, namun pintu keretanya gagal dibuka kerana tersepit dengan kereta polis.

Jelasnya, pihaknya kemudian bertindak mematikan enjin kereta suspek tetapi tidak sempat mencabut kunci, berikutan berlakunya pergelutan yang mana suspek bertindak agresif melanggar kereta polis.

“Suspek turut melanggar sebuah kereta orang awam di hadapan Hospital Pakar Putra Melaka. Mereka terus menghala ke Jalan Bukit Cina dan melanggar beberapa lagi kereta orang awam di hadapan Hotel Ibis, sebelum berjaya ditahan polis.

“Pemeriksaan dalam kereta tersebut menjumpa dadah jenis syabu, heroin dan ganja. Kesan pergelutan, seorang anggota mengalami terseliuh kaki kanan dan lutut kanan akibat dilanggar oleh kenderaan suspek.

“Dua lagi anggota mengalami luka di jari tangan kanan. Turut mengalami kerosakan sebuah kereta polis pada bahagian pintu pemandu, pintu sebelah belakang pemandu, bampar bahagian belakang serta mengalami kerosakan lain-lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

CHRISTOPHER PATIT

Tambah Christopher, suspek mengakui kesemua dadah yang dirampas adalah milik mereka dan mendakwa mengambil bekalan itu pada Jumaat lalu daripada seorang pengedar di Batu Berendam.

“Saringan ujian air kencing terhadap kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine. Mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya