PETALING JAYA: Satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai berjaya ditumpaskan apabila sebanyak 8,207 karton rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM2 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah sekitar Kepong Baru, semalam.
Hasil serbuan pada pukul 11 pagi itu turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, serbuan ini dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Briged Tengah PGA Cheras serta berjaya merampas pelbagai barangan termasuk rokok pelbagai jenama.
“Kita merampas 8,207 karton rokok, telefon bimbit dan kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D Max yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran rokok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek yang ditahan dipercayai merupakan ketua dalam sindiket terbabit dan hasil siasatan mendapati bekalan itu diedarkan di sekitar kawasan Keramat, Kuala Lumpur.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,022,632.20. Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar ibu negara yang menjadikan kediaman yang disewa di taman perumahan sebagai stor penyimpanan rokok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup dan polis turut menyeru masyarakat agar dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE