PETALING JAYA: Sebanyak 324 kes dengan kerugian RM2.4 juta direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sejak Januari hingga April lalu membabitkan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya juga sudah menahan 543 ah long dengan 159 kes dituduh mahkamah.
Menurutnya, tindakan pemantauan dan pembanterasan terhadap sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen dilaksanakan secara berterusan.
“JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenalpasti sindiket ah long yang bergerak aktif di seluruh negara.
“Ah long adalah istilah popular yang merujuk kepada orang perseorangan atau badan yang menawarkan pinjaman kewangan haram pada kadar faedah sangat tinggi kepada peminjam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ia disusuli dengan ancaman ugutan dan ancaman ke atas keselamatan diri, harta benda sehingga ke peringkat membunuh jika peminjam tidak mampu untuk membayar kembali wang pinjaman itu.
“Sasaran pelanggan ah long adalah terdiri daripada mereka yang tidak layak untuk membuat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan kerana disenarai hitam atau diisytiharkan sebagai muflis,” katanya.- UTUSAN