Aduan gangguan elektrik bongkar kegiatan bitcoin - Utusan Malaysia

Aduan gangguan elektrik bongkar kegiatan bitcoin

SERBUAN dijalankan di sebuah rumah kedai di Jalan Intan 3, Bandar Baru, Teluk Intan kerana menjalankan kegiatan mencuri elektrik bagi aktiviti melombong bitcoin. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Aduan gangguan bekalan elektrik oleh penduduk membongkar kepada kegiatan mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin di sebuah rumah kedai di Jalan Intan 3, Bandar Baru di sini, awal pagi tadi.

Serbuan pada pukul 1.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dibantu juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, serbuan itu susulan maklumat penduduk di sekitar premis berkenaan yang mengadu kediaman mereka sering mengalami ‘blackout’.

Katanya, pengadu mengesyaki terdapat kegiatan mencuri bekalan elektrik yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti melombong bitcoin di premis berkenaan. 

“Kita telah membuka pintu dan masuk ke rumah kedai tersebut dan mendapati terdapat beberapa mesin melombong bitcoin sedang berfungsi serta disusun di atas rak. 

“Pemeriksaan oleh juruteknik khas TNB ke atas penyambungan wayar dilakukan secara haram itu mengesahkan terdapat kecurian arus elektrik di premis tersebut.

“Pihak TNB kemudian menjalankan kerja-kerja pemotongan elektrik di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, menerusi serbuan itu, pihaknya merampas kesemua peralatan dan kelengkapan bagi tujuan melombong bitcoin secara haram dengan mencuri elektrik. 

Katanya, rampasan itu membabitkan 72 unit mesin bitcoin bersama ‘power supply’, kabel internet (72) dan kabel ‘power supply’ (72) dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM140,000.

“Semua barang-barang rampasan itu dibawa balik ke IPD Hilir Perak untuk tindakan lanjut. Siasatan mendapati premis itu telah beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan penyewa premis tersebut. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (3) (e) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya