TUMPAT: Seorang daripada warga Malaysia Siti Aishah Ismail, 31, yang menjadi mangsa letupan bom motosikal di jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat, Thailand malam Isnin lalu kini dalam keadaan stabil.
Kakak kepada Siti Aishah, Nurul Maizatul Elyana, 34, berkata, keadaan adiknya ketika ini semakin stabil sebelum dibenarkan keluar dari hospital dan dijangka pulang ke Kelantan secepat mungkin.
Menurutnya, dia sentiasa berhubung dengan Siti Aishah untuk mengetahui keadaan kesihatan adiknya itu dari masa ke semasa.
“Siti Aishah dan suaminya, Mohd. Afendi Aziz, 33, bersama anaknya berusia empat tahun keluar dari rumah dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Ego kira-kira pukul 2 petang pada Ahad lalu ke Narathiwat untuk menziarahi datuk saudara suaminya yang sakit tenat.
“Difahamkan, Siti Aishah tidak sempat berjumpa dengan datuk saudaranya kerana telah meninggal dunia akibat sakit tua. Pada sebelah malam, mereka sekeluarga pergi ke tapak ekspo itu dan bertemu dengan Hariza yang datang dengan sebuah kereta ke sana.
“Semasa anak Siti Aishah sedang bermain permainan kereta, mereka dikejutkan dengan letupan bom. Serpihan letupan itu terkena pada bahagian mukanya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Geting, Pengkalan Kubor di sini semalam.
Nurul Maizatul memberitahu, meskipun cedera, adiknya sempat menghantar beberapa keping gambar kejadian letupan termasuk keadaan motosikalnya yang merupakan antara lima motosikal berada di kawasan itu.
Katanya, berdasarkan cerita Siti Aishah, bom yang meletup itu berada di dalam sebuah motosikal yang diletakkan di kawasan itu.
“Cermin kereta yang dinaiki oleh Hariza juga pecah ekoran daripada letupan bom. Siti Aishah memaklumkan bahawa dia dan keluarganya terus berlari ke arah sungai yang berdekatan untuk menyelamatkan diri selepas kejadian itu.
“Saya dan ibu, Narizah Nor, 56, bersyukur kerana Siti Aishah dan keluarganya selamat dalam kejadian itu walaupun mengalami kecederaan,” ujarnya.









