Adik mangsa dera disyaki turut didera - Utusan Malaysia

Adik mangsa dera disyaki turut didera

PASANGAN suami isteri yang disyaki mendera anak saudara mereka hingga menyebabkan kematian di Desa Pengkalan, Ipoh semalam direman selama seminggu sehingga Ahad depan. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Adik kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia selepas disyaki didera ibu dan bapa saudara di Desa Pengkalan di sini, dipercayai turut menjadi mangsa dera.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, terdapat beberapa kesan kecederaan lama dan baharu pada tubuh kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu.

Katanya, mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Mangsa dan adik lelaki tinggal bersama ibu dan bapa saudara mereka sejak awal tahun 2020 Kedua-dua suspek berniaga bihun sup di hadapan rumah mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menerusi laporan media semalam, perbuatan pasangan suami isteri itu terbongkar selepas pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menemukan kesan kecederaan disyaki didera pada tubuh kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu.

Mangsa yang dihantar ke HRPB dengan menaiki ambulans disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi di Jabatan Forensik HRPB itu mendapati punca kematian mangsa akibat ‘multiple blunt injury’.

Berdasarkan siasatan polis, kedua-dua suspek merupakan penjaga mangsa dan adik lelakinya. Mereka direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dijalankan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN