Kerajaan perlu siasat insiden pelarian Rohingya melarikan diri - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu siasat insiden pelarian Rohingya melarikan diri

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan untuk menyiasat secara komprehensif dan telus insiden ratusan tahanan Rohingya melarikan diri daripada Depot Imigresen Sementara Relau, Kedah, semalam.

Menurut beliau, insiden yang turut melibatkan enam pelarian maut dalam nahas di lebuh raya adalah sesuatu yang mendukacitakan dan mengumumkan dapatan daripada siasatan itu kepada awam dengan segera.

“Insiden melarikan diri, protes dan rusuhan di pusat tahanan imigresen bukanlah sesuatu yang baru, namun, ia terus berulang mungkin berpunca daripada masalah kesesakan di dalam blok tahanan, tempoh tahanan yang lama dan terhadnya kemampuan kerajaan dalam pengurusan pusat sedemikian.

“Penahanan berterusan dan lama, tanpa kejelasan tentang kesudahan terhadap nasib dan masa depan mereka adalah pelanggaran hak asasi manusia. Ia juga adalah pembaziran kepada wang rakyat apabila semua ini melibatkan pembiayaan kerajaan sepenuhnya.

“Sebagai anggota Majlis Hak Asasi PBB bagi penggal 2022 hingga 2024, Malaysia mesti menunjukkan iltizam untuk mengurus dasar-dasar berkaitan pelarian dengan lebih telus, bertanggungjawab dan bersandar keselamatan insan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Johor itu lagi, tahanan baharu mesti didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) segera manakala mereka yang mempunyai kad mestilah dibebaskan.

“Tanpa perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai perjanjian yang merumitkan, kumpulan pelarian ini boleh kita benarkan untuk bekerja. Ini akan membantu mereka membangun kemahiran, membiayai kehidupan sendiri dan mengurangkan beban Kerajaan. 

“Kerjasama erat dengan UNHCR juga mesti dipertingkatkan agar mereka boleh segera di pindahkan ke negara penerima dan memulakan kehidupan baru di negara-negara tersebut,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.