PETALING JAYA: Polis menahan tiga ahli sindiket ceti haram atau ah long selepas disyaki melakukan ugutan jenayah dan menyimbah cat ke rumah peminjam, semalam.
Penahanan kesemua suspek berusia 34 hingga 46 tahun itu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur yang melakukan serbuan di sebuah rumah pangsa di Selangor.
Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu lori berusia 25 tahun mendakwa diugut pemberi pinjaman wang.
Kata beliau, lelaki itu mendakwa pintu hadapan rumahnya disimbah cat merah kerana kelewatan membuat bayaran semula pinjaman.
“Sebelum ini, mangsa berurusan membuat pinjaman sebanyak RM30,000 melalui laman sosial Facebook.
“bertindak atas laporan polis menjalankan siasatan dan menyerbu sebuah rumah dihuni suspek dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, beberapa peralatan disyaki digunakan dalam kes berkenaan turut dirampas.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, suspek turut terbabit dengan dua kes lain sebelum ini
“Kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang di laman sosial yang kebanyakannya didalangi sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE