Remaja cedera dibelasah sekumpulan lelaki - Utusan Malaysia

Remaja cedera dibelasah sekumpulan lelaki

TANGKAP layar daripada sebuah video yang tular memaparkan seorang remaja dibelasah sekumpulan lelaki di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang remaja dibelasah sekumpulan lelaki di tempat letak kereta di Taman Nusa Bestari, dekat sini hanya disebabkan pertengkaran mulut dalam kejadian yang berlaku malam tadi.

Kejadian pada 12.30 tengah malam itu menyebabkan remaja berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala, belakang badan, bahagian siku kiri dan kanan, bahagian lutut kiri dan kanan serta muka.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, satu laporan polis telah diterima dan siasatan awal telah dijalankan. 

“Orang awam yang berada di tempat kejadian telah menghubungi ambulans untuk membantu mangsa mendapatkan rawatan. Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menahan mangsa yang terlibat di lokasi kejadian pada waktu sama. 

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku disebabkan perselisihan faham dan pertengkaran mulut antara suspek dan beberapa orang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang minum minuman keras di salah sebuah restoran kawasan Taman Nusa Bestari, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi 26 saat memaparkan remaja berkenaan dipukul sekumpulan lelaki menggunakan kerusi plastik yang mengejarnya dari deretan kedai hingga ke tempat letak kereta.

Menurut Dzulkhairi, pihak polis sedang mengenal pasti dan mengesan kira-kira 10 suspek lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan. Warganet dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dengan menggunakan video yang diviralkan dalam insiden tersebut,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya