95 individu leka karaoke ditahan  - Utusan Malaysia

95 individu leka karaoke ditahan 

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sebuah pusat karaoke mewah yang beroperasi sehingga awal pagi di sebuah pusat beli-belah di Taman Miharja, Cheras, diserbu tengah malam tadi.

Menerusi serbuan pada 12.30 tengah malam itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seramai 95 pelanggan termasuk 20 wanita yang sedang berhibur dalam sebahagian daripada 31 bilik di premis itu ditahan.

“Untuk masuk ke dalam pusat hiburan ini begitu sukar selepas pihak pengurusan hanya membenarkan pelanggan tetap dan mereka yang membuat tempahan sahaja memasuki premis hiburan mewah ini.

“Malah, pelanggan perlu meletakkan kenderaan mereka di parkir ‘basement’ (bawah tanah) pusat hiburan sebelum dibawa naik ke tingkat tiga menggunakan lif khas di tangga kecemasan,” katanya di sini hari ini

Mengulas lanjut, kata Habibi, pihaknya mengambil langkah mengepung semua laluan keluar kecemasan menuju ke dalam pusat beli-belah semasa serbuan dibuat bagi menghalang pengunjung melarikan diri.

Beliau berkata, selain 95 pengunjung tempatan, polis turut menahan seorang penjaga atau pengurus premis hiburan itu serta tiga lelaki dan dua wanita warga asing untuk tindakan lanjut selain merampas resit perniagaan dan peralatan muzik.

“Secara keseluruhan kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung tempatan berjumlah RM95,000.

“Semua tindakan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, Peraturan 17, Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN