KOTA KINABALU: Polis sedang memburu tujuh tahanan lelaki warga Filipina yang meloloskan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Papar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, 14 tahanan warga Filipina dilaporkan melarikan diri dari DTI berkenaan, namun, tujuh daripada mereka berjaya ditahan semula setakat pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kesemua tahanan yang berusia 22 hingga 43 tahun itu melarikan diri dengan mengumpil bumbung tandas yang berada pada ketinggian kira-kira dua meter.
Beliau berkata, operasi mengesan tujuh lagi tahanan yang masih bebas dijalankan sejak awal pagi ini dengan dibantu oleh pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Berdasarkan siasatan awal, semua tahanan yang ditempatkan di blok tengah itu melarikan diri dengan memanjat bumbung tandas setinggi dua meter lalu mengumpil bumbung tersebut menggunakan alat yang tajam.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati semua tahanan yang tinggal di blok tengah melarikan diri dengan memanjat bumbung tandas dan kemudian memotong pagar pusat tahanan dengan menggunakan alat pemotong untuk melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Papar, hari ini.
Menurut Batholomew, tujuh daripada 14 tahanan itu berjaya diberkas semula di sekitar kawasan DTI dan operasi mengesan tujuh lagi tahanan sedang giat dijalankan.
Katanya, ketujuh-tujuh tahanan yang diberkas semula di sekitar kawasan paya bakau, ladang tanaman jagung dan juga stesen petrol yang berada pada jarak kira-kira dua kilometer dari DTI berkenaan.
“Tahanan yang melarikan diri ini sedang menunggu proses pengusiran dan keluarga paling rapat dikenal pasti berada di sekitar sini dan juga Tawau. Kita juga percaya mereka akan pulang ke rumah keluarga.
“Kita percaya selagi mereka tidak melarikan diri keluar dari Papar, kita akan berjaya menangkap mereka. Kita juga meminta bantuan daripada IPD di daerah lain untuk mengesan tahanan ini,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang tahanan ini diminta untuk menghubungi bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera. -UTUSAN ONLINE










