LUMUT: Pasangan suami isteri muda yang menjadi pengedar dadah jenis ganja adalah antara 51 individu ditahan dalam Op Sarang Khas Bersepadu Jihad Dadah Daerah Manjung bermula Ahad lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pasangan berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah di sebuah kawasan perumahan di Lumut kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin.
“Hasil pemeriksaan badan tidak menemui apa-apa barang terlarang.
“Namun, Ketua Polis Balai Seri Manjung bersama anggota Rondaan Cegah Jenayah membuat pemeriksaan di dalam rumah, menemui cebisan-cebisan daun kering mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 114.61 gram,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Nor Omar, siasatan awal mendapati pasangan itu yang memiliki seorang anak perempuan berusia lima tahun, menjadi penagih dadah jenis ganja sejak setahun lalu dan mula mengedar dadah tersebut hampir dua bulan.
Jelasnya, kedua-dua mereka yang juga penganggur memasarkan dadah di sekitar Lumut dan Sitiawan di kalangan penagih yang dikenali dan polis turut menemui alat menghisap dadah di rumah yang mereka duduki.
Beliau memberitahu saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC) dan direman tujuh hari sehingga 29 November ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam pada itu, Nor Omar berkata, daripada keseluruhan 51 individu ditahan, seramai empat orang termasuk pasangan suami isteri itu disiasat di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 manakala seorang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.
“Seramai 24 orang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, 18 orang disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, seorang disiasat di bawah Seksyen 6 ADB 1952, seorang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan dua orang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki,” katanya.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM9,185 merangkumi 18.72 gram heroin, 18.01 gram syabu, 114.61 gram ganja, 8.27 gram ketamin dan lapan biji pil eramin 5.
Ujarnya, operasi diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (KBSJND) IPD Manjung dibantu Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, 28 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dengan kerjasama sembilan anggota RELA Daerah Manjung dalam Op Sarang Khas Bersepadu Jihad Dadah Daerah Manjung itu. – UTUSAN ONLINE