Sindiket proses, bungkus dadah bernilai RM419,920 tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket proses, bungkus dadah bernilai RM419,920 tumpas

Yahaya Othman menunjukkan pelbagai dadah yang dirampas bernilai RM419,920 dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang didalangi warga asing apabila enam individu ditahan menerusi dua serbuan di ibu negara pada Rabu lalu.

Menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bermula pukul 2.30 petang turut merampas pelbagai dadah bernilai RM419,920.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin, syabu dan ganja bagi pasaran tempatan.

Kata beliau, serbuan pertama dilakukan terhadap sebuah premis haram di Batu 3 1/2 Lebuhraya Seremban, dekat sini yang mana berjaya memberkas tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur antara 24 hingga 38 tahun.

“Serbuan ini turut merampas 58 kilogram ganja bernilai RM145,000, selain 11 kilogram dadah jenis heroin nombor dua bernilai RM147,000.

“Turut ditemukan iaitu 181 gram dadah jenis heroin nombor empat bernilai RM16,920 selain 2.6 kilogram methapatamine bernilai RM 93,600 dan 50 kilogram dadah jenis kafein bernilai RM17,000 serta pelbagai peralatan dan perkakas memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, serbuan kedua pula dijalankan di Kampung Udara Lebuhraya Seremban di Brickfields dekat sini. 

“Serbuan ini berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur antara 21 dan 25 tahun.

“Tiada rampasan melibatkan serbuan kedua  yang dijalankan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Yahaya, pihaknya turut menyita pelbagai kenderaan RM119,000 yang digunakan sindiket ini sejak Julai tahun lalu bagi melakukan kegiatan pengedaran.

“Antara kenderaan yang disita melibatkan sebuah Perodua Myvi, sebuah Perodua Alza dan sebuah Perodua Bezza,” ujarnya.

Tambah beliau, ujian saringan yang dijalankan mendapati lima suspek positif dadah.

“Kesemua suspek direman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.