Lori kontena bawa susu kambing bernilai RM752,302 ditahan - Utusan Malaysia

Lori kontena bawa susu kambing bernilai RM752,302 ditahan

MAQIS Selangor menahan sebuah kontena yang membawa 15 tan susu kambing dari New Zealand tanpa permit import sah di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat, Selangor pada Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan sebuah syarikat tempatan membawa susu kambing seberat 15 tan bernilai RM752,302.64 tanpa permit import yang sah membawa padah apabila lori kontena membawa barangan itu ditahan di pintu masuk Westport, Pelabuhan Klang di sini, Khamis lalu.

Lori kontena dari New Zealand itu ditahan selepas pemeriksaan rutin dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor kira-kira pukul 10.30 pagi.

MAQIS Selangor dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap kontena tersebut dan mendapati produk itu tidak mempunyai Permit Import yang sah dikeluarkan oleh MAQIS.

“Kesemua barang dagangan seberat 15,057.4 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM752,302.64 ditahan untuk tindakan lanjut. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Mengulas lanjut, MAQIS Selangor memberitahu, tindakan penguatkuasaaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian. 

“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN