Kes UPNM: Mesej jelas buli tidak boleh dipandang ringan - Utusan Malaysia

Kes UPNM: Mesej jelas buli tidak boleh dipandang ringan

ALLAHYARHAM Zulfarhan Osman Zulkarnain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Jabatan Peguam Negara mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hukuman yang dikenakan kepada penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum ini membuktikan jenayah buli tidak boleh dipandang ringan.

Peguam Arham Rahimy Hariri berkata, ia juga merupakan mesej jelas kepada masyarakat bahayanya buli yang mendatangkan kesan dan perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Malah katanya, sebarang tindakan membabitkan buli perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan.

“Masyarakat dalam masa yang sama juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kejadian segera kepada pihak berkuasa dan bukan menyorok kes.

“Di samping itu, ia peringatan kepada mereka yang mungkin pada awalnya membuli sekadar suka-suka, tetapi tanpa disedari boleh menjadi yang serius jika melampaui batas dalam adab pergaulan sesama manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Alif Anas Md. Noor berkata, ini membuktikan kes buli perlu dipandang secara serius dan tindakan untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi dilihat mampu memberi peringatan kepada semua pihak. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN