MERSING: Dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak ditahan selepas dipercayai positif dadah ketika membawa penumpang menaiki pengangkutan air itu secara merbahaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, tangkapan dilakukan pada pukul 10 pagi selepas polis menahan sebuah bot pelancong berukuran 26 kaki panjang dan enam kaki lebar itu di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa.
“Bot yang ditahan sedang membawa lima orang penumpang yang dikendalikan seorang tekong dengan cara yang berbahaya.
“Justeru, dua lelaki berusia lingkungan 22 tahun hingga 26 tahun telah diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasilnya, kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis meth dan akan direman bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.
Tambah Cyril Edrward, bot tersebut yang turut dirampas kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Laut Mersing untuk siasatan lanjut.
Katanya, pengusaha bot dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan penumpang bot dan mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh agensi kerajaan.
“Pada musim peralihan monsun timur laut dan sepanjang musim monsun yang akan melanda pantai timur Semenanjung termasuk perairan Mersing, dinasihatkan kepada pengendali bot-bot kecil dan nelayan-nelayan persisiran pantai dan pelancong-pelancong supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut.
“Sila patuhi arahan-arahan semasa oleh pihak berkuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE