Sumbat enam kambing seludup dalam Triton - Utusan Malaysia

Sumbat enam kambing seludup dalam Triton

SEBAHAGIAN kambing dirampas Batalion 7 Kuantan selepas menahan pacuan empat roda di SJR Banggol Kong, Jeram Perdah, Rantau Panjang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas enam kambing seludup bernilai RM7,500 yang diangkut dua lelaki menaiki sebuah pacuan empat roda di sini, semalam.

 

Kedua-dua lelaki berusia 23 tahun itu ditahan semasa kenderaan jenis Mitsubishi Triton dinaiki mereka melalui sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah di sini kira-kira pukul 9 malam.

 

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota bertugas telah menjalankan pemeriksaan di bahagian belakang pacuan empat roda itu sambil disaksikan oleh kedua-dua suspek.

 

“Hasil pemeriksaan anggota PGA telah menjumpai enam ekor kambing di bahagian belakang Triton yang telah ditutup menggunakan kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

 

“Kedua-dua lelaki berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan perjalanan muatan kambing yang dibawa kepada anggota yang bertugas” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Azhari memberitahu, kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan bersama kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.

 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

 

“Batalion 7 PGA akan melipat gandakan operasi kawalan keselamatan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan,” tambah beliau. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya