MELAKA: Lapan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah pejabat dan aktif mencuri motosikal jenis Honda EX5, sejak bulan lalu.
Kesemua remaja itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam empat serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada 28 Ogos dan 6 September lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kelapan-lapan suspek digelar Geng Yus itu berjaya ditahan hasil siasatan satu laporan polis yang diterima berkaitan kejadian curi motosikal di Bukit Katil, 26 Ogos lalu.
“Seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai mekanik telah membuat laporan polis mendakwa motosikalnya yang diletakkan di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Bukit Katil telah dicuri.
“Hasil siasatan kita berjaya mengesan dan memberkas enam suspek yang merupakan remaja berusia 13 hingga 17 tahun kira-kira pukul 11.10 malam dalam dua serbuan di Kandang serta Tiang Dua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, pemeriksaan di lokasi serbuan turut menemui empat buah motosikal jenis Honda EX5 yang merupakan hasil curi.
Ujarnya, hasil soal siasat terhadap suspek, polis turut berjaya menyelesaikan satu kes pecah pejabat dan membuat tangkapan susulan, terhadap dua lagi remaja berusia 17 tahun masing-masing di Semabok serta Permatang Pasir.
“Kumpulan Yus ini juga disyaki terlibat dalam kes pecah pejabat di Taman Permatang Pasir Perdana melibatkan kehilangan peralatan komputer jenis Apple iMac dengan anggaran kerugian RM19,500.
“Tangkapan kedua-dua suspek juga berjaya membawa kepada penemuan barang-barang yang dilaporkan dicuri sebelum ini,” jelasnya.
Kesemua remaja itu kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. -UTUSAN ONLINE