LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan percubaan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki negara menerusi perairan Johor selatan awal malam tadi.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam satu kenyataan di sini berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (Swasla) telah mengesan sebuah bot berkelajuan tinggi yang mencurigakan bergerak dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor, kira-kira pukul 9.30 malam.
“Berikutan itu, Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM Kapal Diraja (KD) Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut.
“KD Ganyang seterusnya mengkoordinasikan aset TLDM iaitu FCB 1123 dan bot pemintas RHIB Santi serta aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) iaitu Perkasa 30 bagi memintas bot tersebut,” jelas kenyataan itu.
Menyedari kehadiran bot-bot TLDM dan Maritim di lokasi, bot yang membawa 13 lelaki berusia antara 20-an dan 30-an cuba melarikan diri namun hasil kecekapan dan tindak balas kedua-dua pasukan berjaya menggagalkan cubaan tersebut dan memberkas mereka di kawasan kira-kira empat batu nautika selatan Teluk Ramunia.
Menurut kenyataan itu, semua PATI yang diberkas dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan Covid-19 dan juga siasatan lanjut.
“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan diberkas, atau berpatah balik sama ada di laut atau di darat.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara sepanjang masa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE