Wanita rugi RM105,523 terpedaya percintaan alam maya - Utusan Malaysia

Wanita rugi RM105,523 terpedaya percintaan alam maya

AIBEE ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita berusia 36 tahun dari Felda Serting Hilir dekat sini mengalami kerugian sebanyak RM105,523 selepas terpedaya dengan percintaan dengan seorang lelaki dari negara jiran yang dikenalinya dalam Facebook sejak tahun 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga telah melakukan sebanyak 37 kali transaksi perbankan ke 19 akaun berbeza sejak Ogos 2019 bagi membantu kekasihnya yang dikenali sebagai KA Agus itu.

Menurutnya, permulaan perhubungan perkenalan mereka hanya di Facebook Massenger dan kemudian berlanjutan di aplikasi WhatsApp.

“Suspek telah meminta wang daripada mangsa untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

“Suspek memaklumkan kesemua wang yang telah mangsa berikan ini akan dibayar semula setelah menjual tanah miliknya di Indonesia. Mangsa yang percaya telah membuat pengiriman wang kepada suspek dengan menggunakan ejen-ejen kiriman wang yang ada di sekitar Bahau dan hantar kepadanya menerusi beberapa akaun bank di Indonesia” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, mangsa akhirnya tersedar dirinya terpedaya dengan individu yang tidak pernah ditemuinya itu dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kikir, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kami harap agar orang ramai dapat lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pencintaan alam maya ini bagi mengelak mengalami kerugian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN