Polis serbu salun ada penagih, langgar SOP - Utusan Malaysia

Polis serbu salun ada penagih, langgar SOP

INDIVIDU yang dikompaun termasuk tiga penagih dadah yang turut ditahan kerana ingkar SOP di sebuah salun rambut, di Sitiawan semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menyerbu sebuah salun rambut di Sitiawan dekat sini tengah hari semalam dan merampas dadah jenis heroin dan methamphetamine atau syabu daripada tiga lelaki yang berada dalam premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari itu, polis menemukan satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin anggaran berat 2.30 gram pada lelaki pertama, satu paket plastik lutsinar dadah jenis syabu anggaran berat 2.20 gram (lelaki kedua) dan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah juga jenis syabu anggaran berat 0.45 gram pada lelaki ketiga.

“Saringan awal air kencing pihak polis telah mendapati ketiga-tiga suspek yang berusia 23 hingga 31 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek pertama mempunyai empat kes lampau melibatkan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nor Omar, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, dalam serbuan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Team Task Force Covid 19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung itu turut mendapati tiga lelaki lain dan seorang wanita dalam premis tersebut, tetapi tidak menemukan apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

Begitupun, katanya, kesemua mereka telah dikompaun kerana melanggar operasi prosedur standard (SOP) tidak mengamalkan penjarakan sosial di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa sekarang.

“Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan masing-masing satu kepada pemilik premis kerana menjalankan perniagaan bukan perkhidmatan perlu dengan nilai kompaun RM2,000 dan enam kompaun kepada individu kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial dengan nilai RM 1,500 setiap orang.

“Kompaun telah dikeluarkan di bawah kesalahan tidak melakukan Langkah Pencegahan (Peraturan 17) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (No.4),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN