Polis buka kertas siasatan 'patung kecam kerajaan' - Utusan Malaysia

Polis buka kertas siasatan ‘patung kecam kerajaan’

SEPASUKAN anggota polis menurunkan patung bertulisan kerajaan pembunuh yang digantung di sebuah jambatan di Jalan Tun Abdul Razak - Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi tadi. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengguna jalan raya di Jalan Tun Abdul Razak-Ayer Keroh gempar apabila satu objek dipercayai patung tertera tulisan kerajaan pembunuh digantungkan di jejambat di Persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihak polis telah menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.30 pagi.

Katanya, patung tersebut bagaimanapun telah diturunkan oleh sepasukan polis kira-kira pukul 7.40 pagi.

“Laporan telah dibuat oleh seorang anggota polis yang menerima panggilan itu di Balai Polis Ayer Keroh.

“Sepasukan polis kemudian membuat pemeriksaan di lokasi dan terdapat patung tertera tulisan kerajaan pembunuh yang digantungkan di jejambat Persimpangan MITC,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Utusan Online melaporkan, polis menurunkan patung yang tertera tulisan mengecam kerajaan digantung pihak tidak bertanggungjawab kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Patung yang dipakaikan baju berwarna putih dengan topi petani itu dipercayai digantung malam semalam, bertujuan mencetuskan provokasi.

Tambah Afzanizar, polis sedang giat mengesan individu tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan tersebut.

“Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN