fbpx

23 Oktober 2020, 7:10 am

  TERKINI

Kastam rampas rokok, minuman keras seludup hampir RM1.9 juta 

JOHARI Alfiah (tengah) menunjukkan rokok tidak berkastam yang dirampas dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang semalam. - FOTO/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebanyak 20.35 juta batang rokok dan 124,944 tin minuman keras bernilai hampir RM1.9 juta yang cuba diseludup menerusi Pelabuhan Klang, Selangor 15 Ogos lalu. 

Rampasan itu hasil operasi Unit Siasatan Dalaman (USD), JKDM Zon Utara bersama Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM yang menjalankan pemeriksaan terhadap empat kontena yang tiba dari China kira-kira pukul 10 pagi.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alfiah berkata, hasil pemeriksaan mendapati kontena yang diisytiharkan mengandungi paip besi dan peralatan sudu garfu turut memuatkan minuman keras dan rokok tidak berkastam.

“Sindiket ini didapati mengikrar dagangan sebagai paip besi dalam ‘Bill of Lading’ dan Manifest Import (K4) bagi mengelak perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Anggaran nilai kedua-dua barang rampasan itu adalah RM1,868,796.80 serta anggaran duti kastam pula RM14,620,856.60,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati keempat-empat kontena terbabit dikendalikan dua syarikat perkapalan berbeza namun diimport sebuah syarikat berstatus Sendirian Berhad yang sama di Selangor.

Tambahnya, susulan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai wakil syarikat berkenaan dan direman lima hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (g) Akta Kastam 1967 atas cubaan mengelak fraudan duti kastam serta larangan import dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksesais 1976 kerana mengelak fraudan duti eksesais,” katanya. – UTUSAN

POPULAR