PUTRAJAYA: Seorang remaja tidak menyangka pada usia remajanya, dia terpaksa kehilangan kasih seorang ibu yang dipercayai dibunuh ayah sendiri.
Selepas enam hari ditinggalkan Prof. Madya Dr. Maizatulniza Othman, 41, remaja itu meluahkan rasa rindu kepada arwah ibunya di akaun Facebooknya tiga hari lalu.
“Harap mama tahu, yang mama sentiasa disayangi orang di sekeliling mama. Sentiasa sayang mama.
“Terima Kasih mama. Mama ditimpa ujian demi ujian lalu tiba masanya untuk mama pergi. Rindu mama sangat-sangat. Semoga kita ditemukan semula arwah mama sayangku. Al Fatihah,” luah remaja berusia 14 tahun itu.
Lebih menyedihkan, ayahnya yang sepatutnya menjadi tempat bergantung direman atas dakwaan membunuh isterinya.
Khamis lalu, Maizatulniza Othman, 41, ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kereta Myvi warna putih di tasik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pinggiran Cyberjaya.
Polis kemudian menahan penganggur berusia 41 tahun yang juga suami kepada Maizatulniza.
Sebelum ditahan, suami mangsa didakwa berpura-pura mencari isterinya yang tidak pulang ke rumah sehari sebelum itu, menghubungi polis dan memaklumkan dia menemui wanita itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 1.04 pagi, Khamis.
Polis yang menyiasat mangsa mendapati wanita itu mati dijerut menggunakan kain tudung di lokasi lain sebelum mayatnya dibawa ke tasik PKNS. Mangsa dipercayai dibunuh ekoran memfailkan cerai.
Sementara itu, seorang rakan sekolah mangsa di Institut Teknikal Pulau Pinang, Hanna Othman mendoakan semoga arwah berada dalam rahmat Allah SWT.
“Moga Allah SWT limpahkan kurniaannya kepada arwah Maizatulniza Othman,” katanya seperti dipetik dalam Facebooknya.
Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan UIA Gombak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – UTUSAN










