Selepas hampir 50 hari Titah Pengampunan Diraja dikeluarkan, kenyataan AGC dipertikai - Utusan Malaysia

Selepas hampir 50 hari Titah Pengampunan Diraja dikeluarkan, kenyataan AGC dipertikai

Pengampunan Diraja
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan tindakannya mengarahkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibuat lebih awal.

Malah, jabatan itu juga perlu menjelaskan alasan pertikaian yang dinyatakan semalam selepas bayaran denda yang disyaratkan bagi membenarkan tahanan rumah itu tidak dilakukan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, pertikaian tersebut tidak sepatutnya selepas 50 hari Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sementelah Peguam Negara sendiri merupakan anggota dalam Lembaga Pengampunan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memandang serius tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyarankan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib Razak atas alasan memerlukan tafsiran lanjut undang-undang.

“Jika Peguam Negara terlibat dalam proses pertimbangan dan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, mengapa implikasi undang-undang keputusan tersebut tidak diperjelaskan sejak awal?” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Najib Razak hanya menikmati pembebasan sementara apabila AGC menangguhkan pelaksanaan perintah tahanan di rumah terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Penangguhan tersebut dinyatakan AGC dalam kenyataannya sementara mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.

Rentetan itu, Istana Negara menerusi kenyataannya menjelaskan sebarang hujah mempertikaikan Titah Pengampunan Diraja yang dikeluarkan kepada Najib Razak untuk menjalani tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurutnya, pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah
Persekutuan dan Peguam Negara, sudah pun memberikan nasihat yang sewajarnya
kepada Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Najib Razak, Muhammad Farhan Shafee kemudian menyatakan pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang asas untuk terus menahan anak guamnya itu walaupun sesaat susulan kenyataan Istana Negara.

Beliau berkata, Istana Negara sudah menjelaskan Titah Pengampunan Diraja dikeluarkan terhadap anak guamnya adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.

Tambah Nurul yang merupakan pengamal undang-undang, Peguam Negara dilihat bertindak secara tidak teratur dan melangkaui fungsinya seperti mana termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 145 memperuntukkan fungsi dan kuasa Peguam Negara, namun tidak memberikan kuasa umum untuk menggantung pelaksanaan perintah kehakiman atau pengampunan diraja melalui kenyataan media.

“Sekiranya wujud pertikaian tafsiran, AGC mempunyai saluran undang-undang untuk memohon penjelasan atau penangguhan daripada mahkamah. Persoalannya, adakah suatu perintah penangguhan diperoleh atau pelaksanaan hanya ditangguhkan atas pendirian pentadbiran AGC sendiri?” soalnya.

Tambah beliau lagi, tafsiran tidak boleh dengan sendirinya dijadikan alasan untuk menggantung pelaksanaan sesuatu perintah yang sah tanpa asas perundangan yang jelas.

Najib Razak sepatutnya menjalani baki tempoh hukuman penjara di kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas membayar denda RM50 juta berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini