PUTRAJAYA: Jabatan Warisan Negara (JWN) mempergiat usaha memperkukuh pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara menerusi penganjuran tiga program utama secara bersepadu dari 2 hingga 5 November lalu.
Tiga program berkenaan merangkumi International Seminar on Heritage Management, Konvensyen Warisan Kebangsaan dan Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Ke-6 yang berlangsung di Hotel Pulse Grande, Putrajaya serta Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Kemuncak penganjuran pada 5 November lalu menyaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang diwakili Timbalannya, Chiew Choon Man, menyempurnakan pengisytiharan 39 butiran sebagai Warisan Kebangsaan, manakala 30 lagi butiran akan menyusul untuk disiarkan.
Secara keseluruhan, sebanyak 69 butiran warisan terbabit dalam usaha pengiktirafan dan perlindungan khazanah negara yang merangkumi warisan ketara, warisan tidak ketara serta penerima pengiktirafan Tokoh Orang Hidup (WAKOH).
Pengiktirafan itu mencerminkan penghargaan negara terhadap khazanah dan individu yang mempunyai nilai sejarah serta sumbangan besar kepada kebudayaan dan pembentukan identiti negara, selain memenuhi amanah perundangan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Mengikut peruntukan akta berkenaan, setiap proses penyaringan, kajian dan penilaian dilaksanakan menerusi mekanisme yang membabitkan Pesuruhjaya Warisan serta Majlis Warisan Kebangsaan sebelum sesuatu butiran diisytiharkan secara rasmi.
Status Warisan Kebangsaan bukan sekadar pengiktirafan atau gelaran, sebaliknya turut membawa tanggungjawab besar untuk memastikan khazanah bernilai itu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Ketua Pengarah JWN, Mohamad Muda Bahadin berkata, usaha memartabatkan warisan negara memerlukan komitmen bersama membabitkan Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemilik warisan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti serta semua pihak berkepentingan.
Beliau turut menggesa PBN dan rakan strategik memperkukuh dasar, perundangan serta pelaksanaan usaha pemeliharaan bagi memastikan pembangunan fizikal dapat berjalan seiring tanpa menjejaskan khazanah sejarah dan identiti negara.
“Pembangunan dan pemeliharaan warisan tidak seharusnya dilihat sebagai dua kepentingan yang bertentangan, sebaliknya perlu bergerak seiring bagi memastikan kemajuan negara tidak memadam sejarah dan identiti yang membentuk Malaysia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemilik objek dan khazanah warisan, pihak swasta, NGO serta penerima pengiktirafan WAKOH atas komitmen dan kesungguhan mereka dalam memastikan warisan negara terus terpelihara.
Penganjuran tiga program berkenaan merupakan antara inisiatif strategik JWN untuk memperkukuh ekosistem pengurusan warisan negara, khususnya dari aspek tadbir urus dan perundangan, pembangunan kepakaran profesional serta usaha pemeliharaan dan pemuliharaan.
International Seminar on Heritage Management yang berlangsung pada 2 dan 3 November lalu mengangkat tema ‘Heritage Sustainability: Advancing Global Standards and Practices’ sebagai platform perkongsian ilmu, kepakaran serta pengalaman antara pakar tempatan dan antarabangsa.
Seminar itu memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama termasuk pengurusan tapak warisan, konservasi bangunan bersejarah, arkeologi, warisan tidak ketara, warisan bawah air serta ekopelancongan mampan.
Sementara itu, Konvensyen Warisan Kebangsaan yang berlangsung pada 2 dan 3 November lalu membawa tema “Warisan Kita: Akar Identiti, Kelestarian Masa Hadapan” dengan menghimpunkan penggubal dasar, pakar warisan, ahli akademik, agensi kerajaan serta penggiat industri bagi membincangkan hala tuju dan cabaran pengurusan warisan negara.
Perbincangan turut merangkumi usaha memperkemas pelaksanaan Akta 645, memperkukuh tadbir urus dan sumber kewangan, membangunkan modal insan serta tenaga pakar, selain memperluas kerjasama antara agensi.
Ketiga-tiga program itu diharapkan dapat menghasilkan resolusi dasar yang menyeluruh untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara sektor awam, swasta, NGO, ahli akademik dan komuniti warisan.
JWN menegaskan bahawa tanggungjawab melindungi serta melestarikan warisan negara bukan hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan dan komitmen seluruh lapisan masyarakat.
Warisan bukan sekadar peninggalan masa lalu, tetapi menjadi asas pembentukan jati diri bangsa serta aset negara yang perlu dipelihara demi memastikan khazanah berharga itu terus dinikmati generasi akan datang. – UTUSAN











