KUALA LUMPUR: Bermula dengan pendapatan RM6,000 sebulan tanpa sebarang aset, seorang klien FAR Capital, Edward Lim, 32, kini berjaya memiliki tiga hartanah, simpanan enam angka serta sebuah kilang kabinet yang dibangunkan tanpa sebarang pinjaman bank hasil peningkatan literasi kewangan.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan berkata, kesedaran mengenai pengurusan kewangan perlu dipertingkatkan bagi membantu individu keluar daripada tekanan kewangan dan merancang masa depan dengan lebih teratur.
“Berhentilah menderita tanpa sebab, sebaliknya jika tekanan kewangan mula menjejaskan kehidupan, ambil langkah pertama dengan memahami kedudukan kewangan serta pilihan strategi yang ada,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan wang yang lebih cekap mampu memberikan ruang kepada seseorang untuk berfikir dengan tenang, sekali gus membuat perancangan masa depan secara lebih terarah.
Edward berkata, pendapatan bulanannya meningkat daripada RM6,000 kepada RM20,000, sekali gus memberikan keyakinan untuk memulakan perniagaan sendiri selepas memahami kepentingan pengurusan kewangan.
“Dahulu saya menganggap diri sekadar ‘budak Myvi sengkek’ walaupun memperoleh pendapatan RM6,000 sebulan, tetapi langsung tidak mempunyai aset, namun kini saya memiliki tiga hartanah, simpanan enam angka serta kereta dan motosikal berkuasa tinggi dari Eropah.
“Pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan membuka kilang kabinet sendiri secara tunai tanpa perlu membuat sebarang pinjaman bank,” katanya.
Menurut Edward, perubahan itu banyak dipengaruhi ilmu kejuruteraan kewangan dan peningkatan literasi kewangan yang dipelajarinya, khususnya berkaitan pengurusan aliran tunai serta perancangan komitmen bulanan.
“Apabila saya memahami cara menguruskan modal dan aliran tunai, tekanan hidup semakin berkurangan, sekali gus membolehkan saya berfikir dengan lebih jelas serta membuat keputusan perniagaan yang tepat.
“Kereta dan motosikal mungkin perkara yang dilihat orang dari luar, tetapi ketenangan fikiran kerana tidak lagi dibebani masalah kewangan adalah sesuatu yang lebih bermakna,” katanya.
Faizul berkata, pengalaman Edward menunjukkan pemahaman mengenai kewangan peribadi mampu membantu seseorang menguruskan komitmen besar dengan lebih yakin, meskipun hasil yang dicapai setiap individu berbeza mengikut keadaan masing-masing.
Beliau turut melihat peningkatan kesedaran dalam kalangan Gen Z terhadap komitmen jangka panjang, khususnya berkaitan perkahwinan dan pemilikan rumah, berdasarkan sesi dialog yang dikendalikannya.
“Ada dalam kalangan mereka yang mengelak untuk berkahwin atas alasan sama seperti tidak mahu mengambil pinjaman perumahan, iaitu bimbang terikat dengan tanggungjawab jangka panjang yang tidak mampu diuruskan, sedangkan pendidikan kewangan dapat membantu mereka menilai tahap kesediaan serta perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.
Perkongsian itu disampaikan sempena persidangan FIRE (Financially Independent, Retire Early) yang menghimpunkan lebih 2,500 peserta di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 10 Oktober lalu.
Edisi ketiga anjuran FAR Capital itu turut mengetengahkan aspek pelaburan hartanah, saham, emas serta panduan mengenal pasti penipuan pelaburan dan nasihat kewangan yang mengelirukan. – UTUSAN











