Tok Mat dihalang masuk PPC di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah

Tok Mat dihalang masuk PPC di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH:  Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berang selepas dihalang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada memasuki Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, hari ini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat hadir bagi mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan, Datuk Abu Hakim Abdul Wahid, untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, tindakan petugas SPR menghalang beliau daripada memasuki PPC itu mencetuskan pertikaman lidah antara Tok Mat dan pegawai terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, Mohamad mempersoalkan tindakan itu memandangkan beliau mempunyai pas yang dikeluarkan SPR.

“Tok Mat mempersoalkan kenapa beliau tidak dibenarkan masuk sedangkan beliau mempunyai pas SPR.

“Beliau turut bertanya, apa gunanya pas tersebut jika beliau tetap tidak dibenarkan memasuki PPC,” katanya di sini hari ini.

Menurut saksi itu, pegawai terbabit kemudiannya menjelaskan bahawa kehadiran Mohamad dianggap melebihi kuota individu yang dibenarkan memasuki PPC bersama calon.

Kata petugas itu, mengikut ketetapan proses penamaan calon, selain calon, hanya pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke dalam pusat berkenaan.

Situasi itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah seketika antara Mohamad dan petugas terbabit sebelum Timbalan Presiden UMNO itu mengambil keputusan untuk meninggalkan lokasi berkenaan.

Kejadian tersebut menarik perhatian petugas parti dan orang ramai yang berada di sekitar Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, namun keadaan dilaporkan kembali terkawal selepas Mohamad beredar.

Proses penamaan calon bagi kerusi DUN Lendu diteruskan seperti biasa apabila Abu Hakim akan berdepan satu lawan satu menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nazri Ramli. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini