Statos sasar peningkatan 30 peratus pelancong Singapura ke Sarawak 

Statos sasar peningkatan 30 peratus pelancong Singapura ke Sarawak 

Putrie Rozana Soraya Roslan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (Statos) menyasarkan peningkatan 30 peratus pelancong dari Singapura ke Sarawak menerusi pengukuhan kerjasama industri dan promosi destinasi pelancong menarik, tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif Statos, Putrie Rozana Soraya Roslan berkata, sasaran ini mampu dicapai dengan usahasama Tourism Malaysia Sarawak, pejabat Tourism Malaysia di Singapura dan pemain industri pelancongan Sarawak.

Katanya, langkah memperkukuh hubungan dua hala antara Singapura dengan negeri Bumi Kenyalang menerusi pelbagai inisiatif serta jaringan industri membantu pertumbuhan ekonomi itu.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk membawa lebih ramai rakyat Singapura ke Sarawak dan memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan acara perniagaan.

“Kerjasama yang dijalin bersama Sarawak Tourism Board, Business Events Sarawak, Association of Sarawak Inbound Agencies serta Air borneo secara tak langsung memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan Sarawak kepada pasaran Republic itu,” katanya selepas Majlis Jom Ke Borneo di Hotel Amari, di sini hari ini.

Putrie Rozana berkata, pihaknya turut menyasar untuk menjadi destinasi peneraju dalam sektor eko pelancongan dan acara perniagaan menjelang 2030 dengan meletakkan pasaran Singapura sebagai antara segmen penting diberi tumpuan.

Tambahnya, hubungan penerbangan harian Air Borneo dari Singapura ke Sarawak menjadi faktor pemangkin kepada usaha meningkatkan ketibaan pelancong dari seberang Tambak Johor itu.

“Statos turut memberi tumpuan terhadap kerjasama rentas sektor bagi memperluas potensi industri pelancongan, termasuk dalam bidang penyelidikan, akademik dan program lawatan pembelajaran.

“Usaha itu penting bagi memperkukuh hubungan antara sektor pelancongan dengan institusi pendidikan serta industri lain di Sarawak dan Singapura.

“Selain mempromosikan Sarawak sebagai destinasi riadah dan acara perniagaan, kami juga melihat peluang kerjasama rentas sektor untuk memperluas penyelidikan, pertumbuhan akademik dan program pembelajaran di Sarawak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN