SKA Capital sasar RM103.4 juta hasil IPO di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

SKA Capital sasar RM103.4 juta hasil IPO di Pasaran ACE

SUBAS (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Prospektus IPO SKA Capital di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SKA Capital Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM103.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, bagi memperkukuh kapasiti pelaksanaan projek infrastruktur tenaga.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM72.3 juta akan diperoleh syarikat menerusi terbitan saham baharu, manakala selebihnya melibatkan tawaran saham sedia ada oleh pemegang saham.

Penyedia penyelesaian kejuruteraan infrastruktur tenaga itu menawarkan 168.075 juta saham biasa baharu pada harga IPO 43 sen sesaham, manakala 72.4 juta saham sedia ada turut ditawarkan untuk jualan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusannya, Datuk Subas Kumar Ambairam berkata, hasil IPO itu akan digunakan bagi memperkukuh kapasiti kumpulan untuk melaksanakan projek infrastruktur tenaga berskala lebih besar serta meningkatkan keupayaan mengendalikan beberapa projek secara serentak.

“Sebanyak RM32.72 juta daripada hasil IPO akan diperuntukkan sebagai modal kerja, keperluan bon prestasi untuk mendapatkan projek (RM21 juta) akan datang dan bagi pembelian jentera serta peralatan (RM12.05 juta).

“IPO ini membolehkan kami memperkukuh kedudukan kewangan dan keupayaan pelaksanaan bagi membida projek yang lebih besar dan kompleks,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu mempunyai buku pesanan tertunggak kira-kira RM313.4 juta setakat 21 September 2026, dengan hampir 50 peratus daripadanya berkaitan projek infrastruktur pusat data.

Katanya, SKA Capital menerusi anak syarikatnya, SKA Rekabina Sdn Bhd dan Reltency Engineering Services Sdn Bhd, terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan pencawang, kejuruteraan utiliti bawah tanah serta perdagangan peranti elektrik, peralatan elektrik dan bahan binaan.

“Perniagaan di bawah IPO dijangka menyumbang kira-kira 30 peratus, manakala Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, dan Pentauliahan (EBCC) merangkumi baki 70 peratus.

“Bagaimanapun, pecahan itu perlu disahkan dengan pihak syarikat bagi memastikan angka berkenaan merujuk kepada komposisi perniagaan yang tepat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan dijangka terus disokong oleh keperluan TNB serta pembangunan pusat data di Malaysia.

Katanya, perbelanjaan TNB berkaitan KPEC yang sebelum ini sekitar RM3 juta hingga RM5 juta setahun meningkat kepada RM15 juta, manakala perbelanjaan bagi tahun depan dijangka mencecah RM18 juta.

“Kira-kira 20 pusat data sedang dalam pembinaan ketika ini, sekali gus menunjukkan keperluan berterusan terhadap infrastruktur elektrik bagi menyokong pembangunan berkenaan.

“Walaupun terdapat kemungkinan kelembapan dalam pembangunan pusat data, kami masih mempunyai TNB untuk menyokong pertumbuhan perniagaan menerusi pengembangan KPEC,” katanya.

Menurutnya, SKA Capital merekodkan hasil RM241.36 juta dan keuntungan bersih RM30.8 juta pada 2025, manakala hasil bagi tempoh lima bulan pertama 2026 dilaporkan sebanyak RM119.2 juta.

Tambahnya, berdasarkan modal saham diterbitkan yang diperbesarkan sebanyak 895.5 juta saham, SKA Capital dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM385.1 juta selepas penyenaraian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini