Roti Panda Tata sasar 100 cawangan

Roti Panda Tata sasar 100 cawangan

Para tetamu kenamaan melakukan simbolik pelancaran sempena pembukaan cawangan pertama Panda Tata di NU Sentral, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Panda Tata mengetengahkan keunikan roti burger yang diuli dan dibakar segar dalam tempoh tiga minit sebagai strategi menarik perhatian pelanggan di Malaysia, selain pilihan inti dan sos.

Jenama makanan segera dari Guangzhou, China itu memperkenalkan konsep ‘Freshly Baked Chewy Bun’ di Malaysia menerusi pembukaan restoran pertamanya di NU Sentral, di sini.

Pengurus Operasinya, Daniel Leng berkata, pelanggan boleh melihat sendiri proses penyediaan roti melalui tingkap dapur yang disediakan di restoran berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari proses penyediaan doh sehingga menjadi roti yang siap dibakar, semuanya mengambil masa tiga minit menggunakan mesin kami,” katanya kepada media pada majlis pembukaan cawangan pertama Panda Tata di NU Sentral, di sini, kelmarin.

Menurutnya, Panda Tata yang kini mengendalikan lebih 400 cawangan di China memilih Malaysia sebagai destinasi pertama bagi pengembangan perniagaannya ke pasaran antarabangsa.

Katanya, Kuala Lumpur dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik serta kemudahan akses kepada pengangkutan awam, termasuk Monorel dan MRT.

Daniel berkata, syarikat itu merancang menjadikan pusat beli-belah sebagai lokasi utama pembukaan cawangan baharu berbanding premis kedai konvensional di tepi jalan.

Bagi memperluas rangkaian perniagaannya di Malaysia, Panda Tata menyasarkan pembukaan antara 20 hingga 30 cawangan baharu tahun depan.

Daniel Leng.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, syarikat itu meletakkan sasaran untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 100 cawangan.

“Model pengembangan kami adalah melalui francais menerusi usaha sama dengan rakan kongsi tempatan.

“Bagaimanapun, kami belum membuka tawaran francais kepada umum kerana mahu memastikan operasi cawangan pertama ini berjalan lancar terlebih dahulu,” katanya.

Setiap cawangan dianggarkan memerlukan pelaburan sekitar RM1 juta, sekali gus menjadikan perancangan kos antara perkara penting dalam usaha mengembangkan perniagaan itu.

Dari segi menu, restoran berkenaan menawarkan sembilan pilihan burger utama, kira-kira 10 jenis snek serta minuman ringan dengan kemudahan isi semula tanpa had.

Antara menu yang tersedia ialah burger ayam, ikan dan udang, selain burger daging dengan pilihan perisa seperti satay.

Burger secara ala carte dijual pada harga RM13 hingga RM15, manakala hidangan set ditawarkan antara RM18 hingga RM25 bergantung pada pilihan menu.

Dalam perkembangan lain, Daniel berkata, Panda Tata sedang membuat persiapan untuk memohon pensijilan halal mengikut prosedur yang ditetapkan, dengan semua bahan mentah dan produknya diperoleh daripada pembekal tempatan yang mempunyai sijil halal sah.

Restoran Panda Tata di Aras Concourse, NU Sentral, Brickfields, Kuala Lumpur beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, manakala perkhidmatan penghantaran makanan menerusi platform dalam talian dijangka diperkenalkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini