Momen luar biasa - Mhia Firdaus tercalon Anugerah Golden Horse - Utusan Malaysia

Momen luar biasa – Mhia Firdaus tercalon Anugerah Golden Horse

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Mhia Firdaus tidak menyangka bakal lolos dalam pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Sayang Sayang pada Anugerah Golden Horse ke-63.

Mengulas lanjut, Mhia mengakui tidak pernah terlintas dalam fikiran namanya bakal tersenarai untuk berentap dalam anugerah berprestij itu.

“Bagi saya, ia suatu momen yang sangat luar biasa kerana saya tidak pernah terfikir akan mendengar nama saya disebut dalam pencalonan seperti ini, terutama pada tahap perjalanan saya sekarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat gembira dan bersyukur, tetapi pada masa sama, sebahagian diri saya masih cuba proses sama ada ia benar berlaku. Saya berfikir, ‘Betulkah ini berlaku kepada saya?’.

“Selepas kejutan itu, perkara pertama yang saya fikirkan, mereka yang terbabit dalam Sayang Sayang. Mungkin pencalonan ini meletakkan nama saya, tapi saya tahu saya tidak sampai ke tahap ini seorang diri. Ramai yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan membantu menghidupkan filem dan karakter saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Mhia berkata, dia percaya pencalonan ini adalah hadiah memandangkan dia meletakkan sepenuh jiwa bagi menjayakan filem Sayang Sayang kali ini.

“Ia juga membuatkan saya sedar bahawa kadang-kadang perkara yang kita fikir mustahil sebenarnya boleh berlaku jika kita benar-benar meletakkan hati dan kesungguhan terhadapnya.

“Bagi saya, ia mengenai apa yang berikan, termasuk usaha, persediaan, keterbukaan untuk belajar dan sejauh mana kita sanggup memberikan yang terbaik untuk karya kita,” katanya.

Mengulas mengenai karakter Mina dalam filem tersebut, Mhia berkata, dia melakukan banyak latihan terutama melibatkan Muay Thai selain mendapatkan nasihat ibunya yang juga pelakon, Farah Ahmad.

“Pengalaman itu mengajar saya bahawa kita memerlukan mentaliti yang kuat, bukan saja secara fizikal tetapi juga mental untuk memenuhi tuntutan watak.

“Semua itu pula berlaku dalam bulan puasa, jadi memang ada turun naik sepanjang proses itu. Ada hari saya rasa kuat dan ada hari saya benar-benar perlu paksa diri dan ingat kembali kenapa saya melakukan semua ini.

“Ibu membantu saya melihat watak daripada perspektif berbeza. Kadang-kadang satu perbualan boleh membuatkan kita melihat karakter dari sisi yang berbeza,” katanya.

Selain Mhia, filem arahan Tang Hsiang-Chu itu turut dicalonkan bagi kategori Lakon Layar Asal Terbaik, Pelakon Baharu Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik serta Kesan Visual Terbaik.

Sayang Sayang mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, impian serta tempat mereka dalam kehidupan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN