Kembali bertaubat, ada sinar kebaikan di hadapan

Kembali bertaubat, ada sinar kebaikan di hadapan

ALWI MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP orang mempunyai pelbagai cerita atau episod kehidupan. Ada ketika indah dan ada pula episod yang mungkin kita sendiri tidak sanggup membacanya kembali.

Seseorang itu mungkin pernah diuji dengan sesuatu bencana, bankrap, sakit, perceraian, dadah dan sebagainya. Pernah jatuh dan bangun malahan ada yang melalui sisi gelap dalam kehidupan. Bukan sahaja tempoh singkat, tetapi melibatkan jarak puluhan tahun.

Membicarakan hal ini kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Santuni Ummah Pahang, Ustaz Alwi Muda berkata, yang paling penting bukanlah berapa kali seseorang itu jatuh, tetapi adakah dia mahu bangun semula selepas kejatuhan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Inilah yang saya fahami sebagai berdamai dengan takdir. Berdamai dengan takdir bukan bermaksud menyerah dan berkata, ‘Aku sudah begini. Inilah nasib aku’. Tidak, sekali-kali tidak atau pelbagai tanggapan terhadap diri sendiri sambil menitip kekesalan apabila mengenang semula detik hitam berlaku dalam kehidupan lalu,” katanya di Kuantan baru-baru ini.

Menurut Ustaz Alwi, dalam Islam, kita menerima perkara yang telah berlaku dengan reda, mengambil pengajaran daripadanya, kemudian bangkit dengan taubat, ikhtiar, doa dan tawakal bagi membina kehidupan yang lebih baik.

Katanya, Allah berfirman dalam surah al-Ra‘d, ayat 11 bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Beliau berkata, hal berkenaan bermakna, perubahan itu perlu bermula dari dalam diri kita sendiri apabila kita reda dan beristiqamah selepas kejadian yang telah lalu.

Ustaz Alwi yang juga seorang pendakwah bebas berkata, betapa indahnya Islam. Islam tidak hanya bertanya, ‘Siapakah kamu semalam?’ Tetapi, Islam membuka ruang untuk kita bertanya, ‘Siapakah kamu hari ini? Apakah yang kamu mahu jadi hari ini?”.

Beliau berkata, agama Islam membuka ruang untuk seseorang berfikir dan sedar semula misalnya semua kesalahan yang dilakukan dan wajar muhasabah dengan kembali bertaubat.

“Setiap manusia tidak terlepas daripada sifat khilaf, lupa, berbuat dosa kecuali para Nabi dan Rasul,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga mempunyai tanggungjawab. Jangan kita menghukum seseorang sepanjang hayat kerana satu kejadian atau peristiwa gelap berlaku dalam kehidupannya.

ALWI MUDA
Tarikh Lahir: 2 April 1965
Tempat Lahir: Kampung Losong, Kuala Terengganu
Perkhidmatan dalam masyarakat:
 Setiausaha Persatuan Guru Takmir Masjid dan Surau Negeri Pahang
 Pengerusi NGO Pertubuhan Peduli Progresif (PPP)
 Pengerusi NGO Pertubuhan Santuni Ummah Pahang (SANTUN)
 Panel penceramah Ceramah Pilihan, Pahang

“Misalnya, sekiranya seseorang yang telah meninggalkan dadah, bertaubat dan membina kehidupan baharu, tetapi masih terus dipanggil atau masih dilihat hanya sebagai seorang penagih.

“Seterusnya orang yang sedang bangkit memerlukan tangan yang menyambut, bukan jari yang menuding. Mereka memerlukan keluarga yang menerima, masyarakat yang membimbing dan sahabat yang menguatkan,” katanya.

Hal ini dijelaskan dalam surah al Maidah, ayat, bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksaan-Nya.”

Ustaz Alwi berkata, rentetan sejarah kegelapan yang dilalui oleh seseorang mungkin tidak boleh dipadam, tetapi pada masa hadapan masih boleh ditulis dengan tinta kebaikan.

Tambahnya, luka semalam boleh menjadi hikmah hari ini. Dan kejatuhan semalam boleh menjadi sebab kita lebih dekat kepada Allah pada hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN