KULIM: Komitmen UMNO untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bukan perkara baharu, sebaliknya sudah dipersetujui secara bertulis sejak pembentukan kerajaan berkenaan pada November 2022.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persefahaman yang dimeterai antara parti-parti dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan jelas menetapkan komitmen untuk bekerjasama sehingga tamat penggal.
“Saya yang ikut membidani kelahiran Kerajaan Perpaduan ini seawal November 2022, sejurus selepas keputusan pilihan raya. Saya tahu bahawa secara dokumennya, kita telah memeterai satu persefahaman, perjanjian bertulis untuk kita akan bekerjasama sehingga habis penggal.
“Jadi apabila Presiden UMNO menyebut bahawa dia akan berpegang kepada komitmen itu, itu bukan satu perkara baharu pada saya,” katanya selepas mengadakan lawatan projek di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), hari ini.
Pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, semalam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga penghujung penggal pentadbiran selaras dengan resolusi yang telah diputuskan dalam PAU.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendirian parti itu kekal jelas dan tidak bercanggah dengan mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pendirian itu wajar dialu-alukan kerana kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi serta memastikan rakyat terus mendapat manfaat.
“Adapun serangan-serangan biasa itu, saya tak anggap sebagai menjejaskan kestabilan. Saya setuju, saya sampaikan. Dia tak setuju, dia macam itu. Itu biasa, itu warna-warni politik.
“Yang paling penting ialah Presiden UMNO sebut dengan jelas akan kekal seperti mana komitmen yang dimeterai dalam perjanjian bertulis seawal pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Pengerusi PKR Kedah berkata, kerjasama yang sedang diteroka antara UMNO Kedah dan Pas Kedah tidak dilihat sebagai ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya di negeri ini.
Beliau berkata, kedua-dua parti bebas menentukan rakan serta bentuk kerjasama masing-masing dalam amalan demokrasi, justeru perkembangan berkenaan tidak seharusnya menjadi kebimbangan kepada PH.
“Tak ada, tak ada ancaman apa-apa. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Sanusi dan juga UMNO Kedah. Demokrasi, parti bebas memilih regu mana, pasukan mana yang mereka nak engage. Itu tak ada masalah, saya alu-alukan,” katanya. – UTUSAN







