ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya bertindak seolah-olah mempunyai kuasa menentukan sama ada permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar diperkenankan atau sebaliknya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara berkaitan pengampunan bukan sesuatu yang boleh diputuskan melalui kenyataan politik atau perbicaraan di media sosial, sebaliknya perlu dihormati mengikut proses yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menyediakan mekanisme pengampunan melalui Lembaga Pengampunan dan semua pihak perlu menghormati proses berkenaan.
“Permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib bukan suatu penolakan terhadap keputusan mahkamah. Ia bukan perbicaraan semula dan bukan juga rayuan politik. Ia merupakan hak untuk memohon pertimbangan melalui saluran sah yang disediakan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mahdzir berkata, proses kehakiman, pelaksanaan hukuman dan pertimbangan pengampunan merupakan perkara yang mempunyai kerangka masing-masing selepas seseorang disabitkan dan dijatuhkan hukuman.
Beliau berkata, kuasa pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan perlu dihormati dan tidak sepatutnya didahului dengan keputusan politik mengenai siapa yang layak atau tidak layak menerima pengampunan.
“Kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang berteraskan ihsan bagi mengimbangi neraca keadilan setelah proses undang-undang selesai.
“Maka, tiada parti politik berhak mendahului atau cuba mempengaruhi pertimbangan tersebut dengan menentukan lebih awal siapakah yang layak atau tidak layak menerima pengampunan,” katanya.
Mahdzir turut membidas tindakan pemimpin dan penyokong PH yang secara terbuka mendesak supaya permohonan Najib tidak diperkenankan.
Katanya, tindakan sedemikian boleh dilihat sebagai cubaan memberikan tekanan politik terhadap perkara yang sepatutnya dipertimbangkan melalui kerangka perlembagaan.
“Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Menghormati Perlembagaan bukan bermaksud memilih peruntukan yang disukai dan menolaknya apabila melibatkan lawan politik. Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti atau nama individu,” katanya.-UTUSAN










