PETALING JAYA: Pelakon, Azhan Rani, 50, tidak merancang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap individu yang memanggil nama bapanya sebagai bahan gurauan.
Menurutnya, setidak-tidaknya dia akan mengambil langkah mengasingkan diri dari kelompok tersebut atau menyekat mereka di media sosial.
“Saya tidaklah bercadang untuk ambil tindakan, saman menyaman atau apa. Paling tidak pun saya akan menjauhkan diri atau ‘menyekat’ orang begini dari media sosial saya.
“Walau berkali-kali diberi amaran, mereka masih akan melakukannya atas nama bergurau,” katanya semasa ditemui majlis tayangan drama Bulan Henti Bicara, baru-baru ini.
Sebelum ini tular di platform Thread apabila Azhan mengingatkan agar menghormati nama bapanya dan tidak memanggilnya dengan nama tersebut.
Menurut Azhan lagi, dia berasa tidak selesa dan tersinggung apabila ada pihak yang sengaja bermain nama bapanya dengan tujuan bergurau.
“Saya tidak kisah kalau mereka salah, yang saya kisah apabila mereka sudah dimaklumkan, namun tetap memanggil nama bapa saya.
“Contoh kejadian berlaku di Gunung Agung, Bali Indonesia apabila ada seorang individu ini berulang kali memanggil saya dengan nama arwah bapa saya.
“Kalau saya marah, mungkin perkara itu akan mengundang perhatian ramai dan kelak menjadi tular, saya tidak mahu ianya berlaku,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon yang kini popular dengan watak Jamali itu mengakui kerap ‘menyekat’ ramai individu di media sosial kerana perbezaan pandangan dengan individu yang merasakan mereka sentiasa betul.
“Saya sekat mereka kerana mereka suka berdebat dan merasakan diri mereka sentiasa betul. Orang macam ini akan sentiasa merasakan diri mereka menang, jadi selayaknya mereka disekat dari media sosial saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azhan berterima kasih dan gembira dengan sambutan penonton terhadap watak Jamali dalam drama Bulan Berhenti Bicara yang kini menjadi fenomena.
Menurutnya dia tidak pernah menjangkakan watak Jamali itu akan menjadi tular dan fenomena dalam kalangan pengikut drama tersebut.
“Saya tidak pernah melakukan sesuatu perkara itu kerana mencari fenomena. Bagi saya ia satu bonus apabila menjadi popular.
“Apa pun kemenjadian watak ini adalah hasil kerja seluruh tenaga produksi yang bertungkus lumus menjayakan drama tersebut,” kongsinya.-UTUSAN










