PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menetapkan dan menerbitkan garis panduan yang jelas, seragam serta telus mengenai penggunaan gari serta tatacara membawa orang kena siasat (OKS) ke mahkamah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, perjuangan anti rasuah yang berintegriti tidak boleh dibina melalui pengadilan melalui media, penghinaan awam atau hukuman persepsi sebelum mahkamah menentukan kesalahan.
Malah katanya, langkah tersebut penting bagi mengelakkan tuduhan dwi standard serta melindungi pegawai penguatkuasa yang perlu membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.
“Pada masa yang sama, keputusan ini jangan sesekali disalahertikan sebagai melembutkan tindakan terhadap pesalah rasuah. Siasatan mesti kekal tegas, bebas dan tanpa takut atau pilih kasih.
“Pendakwaan hendaklah dilakukan apabila bukti mencukupi, dan mereka yang akhirnya disabitkan kesalahan mesti menerima hukuman sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, SPRM membuat keputusan bagi menggantung pemakaian baju oren bagi OKS yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keputusan itu dibuat susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
Dalam pada itu Jais menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah yang matang, profesional dan selaras dengan prinsip asas keadilan bahawa seseorang yang disiasat belum boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui proses undang-undang.
“Perlu ditegaskan bahawa reman bukan hukuman. Ia merupakan sebahagian daripada proses siasatan. Oleh itu, tindakan membawa seseorang OKS ke mahkamah tidak seharusnya mewujudkan persepsi awam seolah-olah individu tersebut telah pun disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Menurut Jais lagi, isu penggunaan gari hendaklah berasaskan penilaian risiko dan budi bicara profesional, bukannya digunakan secara automatik atau sebagai simbol penghinaan.
Katanya, faktor seperti risiko melarikan diri, tahap agresif, keselamatan pegawai pengiring dan orang awam, kemungkinan mencederakan diri atau orang lain, keadaan kesihatan, umur serta keupayaan fizikal OKS sewajarnya diambil kira.
“Satu prinsip yang lebih penting ialah budi bicara tidak boleh bertukar menjadi pilih kasih. Menteri, bekas menteri, ahli politik, penjawat awam, tokoh korporat mahupun rakyat biasa hendaklah tertakluk kepada standard penilaian risiko yang sama.
“Kedudukan, pangkat dan pengaruh seseorang tidak seharusnya secara automatik memberikan layanan istimewa, sebagaimana status seseorang sebagai suspek juga tidak menghalalkan tindakan yang mengaibkan,” jelasnya. – UTUSAN










