Seramai 1,512 anak Pekerja Migran di Malaysia dapat status kewarganegaraan Indonesia

Seramai 1,512 anak Pekerja Migran di Malaysia dapat status kewarganegaraan Indonesia

Menteri Hukum (Undang-undang) Republik Indonesia, Dr. Supratman Andi Agtas berucap pada sesi dialog program Pasti Ada Solusi di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Kuala Lumpur di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 1,512 anak Pekerja Migran Indonesia (PMI) di Malaysia menerima pengesahan status kewarganegaraan Republik Indonesia menerusi kerjasama lima kementerian negara itu.

Program berkenaan membabitkan Kementerian Undang-undang, Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan, Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Luar Negeri Indonesia.

Menteri Hukum (Undang-undang) Republik Indonesia, Dr. Supratman Andi Agtas berkata, pengesahan status kewarganegaraan itu dilaksanakan di empat lokasi iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Tawau dan Johor Bahru.

Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan anak pekerja migran terbabit mendapat kepastian mengenai status kewarganegaraan serta perlindungan dari segi undang-undang.

“Kerajaan Indonesia prihatin kerana ada anak-anak dan saudara kita yang tidak dapat menikmati hak mereka sebagai warga negara sepenuhnya serta tidak mempunyai kepastian dari segi undang-undang.

“Justeru, kami daripada Kementerian Undang-undang bersama empat kementerian lain hadir di sini untuk memberikan kepastian undang-undang kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog program Pasti Ada Solusi di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Supratman, ketiadaan status kewarganegaraan bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya memberi kesan terhadap keupayaan anak-anak terbabit mendapatkan pelbagai hak sebagai warganegara.

Katanya, status kewarganegaraan menjadi asas untuk mereka mendapatkan akses kepada pendidikan, kesihatan, urusan pentadbiran penduduk, bantuan sosial serta perlindungan ketika berdepan masalah undang-undang.

“Bermula dengan pengesahan status kewarganegaraan, ia akan menjadi pintu kepada anak-anak kita untuk bersekolah dan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Ia juga membolehkan mereka mendapatkan bantuan dan perlindungan undang-undang ketika berada di luar wilayah Indonesia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×