KLANG: Adik kepada seorang pemancing masih hilang iaitu Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, masih berharap abangnya itu dapat pulang dengan selamat selepas dilaporkan hilang di laut sejak Ahad lalu.
Raja Noorhayati, 46, yang tiba dari Kelantan sejak Isnin lalu berkata, dia maklum abangnya keluar memancing pada hari kejadian dan menganggapnya sebagai perkara biasa kerana itu adalah hobinya.
“Pada hari kejadian pun, dia ada update status dalam media sosial kata keluar memancing. Katanya akan balik pada hari yang sama, tidak tidur di bot. Tetapi, sehingga kini dia tak balik pun lagi.
“Biarpun sehingga hari ini, harapan kami sekeluarga amat besar supaya dia kurang dalam keadaan selamat tak kisahlah dalam keadaan macam mana sekali pun, yang penting selamat,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan (PKH) Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di sini, hari ini.
Raja Mohd. Rozi yang dikenali sebagai Tok Penghulu antara dua yang dilaporkan masih hilang bersama Muhammad Rizuan Ruhaizat, 37, selepas bot dinaiki mereka ketika keluar memancing bersama lima lain termasuk seorang tekong dipercayai karam akibat laut bergelora pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, empat daripada mereka dilaporkan selamat iaitu Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45 dan Zulfikalnain Awang, 47, yang merupakan tekong bot berkenaan.
Sementara Mohd. Shahril Abdul Rahman, 43, disahkan meninggal dunia selepas jenazahnya ditemui oleh nelayan pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang di Bagan Datuk, Perak, semalam.
Jelas Raja Noorhayati, dia terkilan dengan sikap pengguna media sosial yang menyebarkan maklumat berkenaan kejadian tersebut tanpa usul periksa termasuk dakwaan yang mengatakan anak ketujuh daripada 11 beradik itu dilanggar oleh kapal.
“Mereka tak sensitif langsung dengan keluarga mangsa yang sedang berhadapan musibah ini. Kami rasa ralat dan sedih.
“Kalau tidak disahkan, janganlah dikeluarkan, malah mendakwa Raja Mohd. Rozi dan rakannya sudah mati. Kami memang marah,” ujarnya kesal.
Terdahulu, operasi SAR dilapor diperluaskan sehingga ke ke perairan Bagan Datuk, Perak dalam operasi yang memasuki hari keempat, hari ini.
Pencarian di kawasan berkenaan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) Nusa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak di perairan seluas 101.20 batu nautika persegi.
Pegawai Operasi Maritim Selangor, Leftenan (M) Mohd. Syafiq Sazali, berkata, pencarian yang dimulakan pada pukul 7 pagi tadi terus dilakukan di perairan berhampiran Tanjong Karang, Kuala Selangor seluas 449 batu nautika persegi. – UTUSAN










