Purata gaji, upah warganegara naik RM3,803 pada 2025 - Utusan Malaysia

Purata gaji, upah warganegara naik RM3,803 pada 2025

PURATA gaji di Malaysia meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan bulanan rakyat Malaysia terus mengukuh apabila purata gaji dan upah warganegara melonjak 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, penengah gaji dan upah bulanan turut meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 berbanding RM2,793 pada 2024.

Katanya, pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan momentum positif pada 2025 dengan bilangan penerima gaji dan upah bulanan mencecah kepada 12.01 juta orang daripada 11.96 juta orang pada 2024.

“Daripada jumlah itu, warganegara Malaysia merangkumi 10.38 juta orang atau 86.4 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada peningkatan bilangan penerima gaji dan upah dengan sumbangan 71.5 peratus, meningkat 1.8 peratus kepada 7.42 juta orang.

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM6,175, diikuti Perkhidmatan (RM3,993), Pembuatan (RM3,357), Pembinaan (RM3,188) dan Pertanian (RM2,575),” katanya dalam kenyataan.

Jabatan itu berkata, mengikut kategori kemahiran, pekerja mahir merangkumi 36.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji dan mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM5,799 berbanding RM5,582 pada 2024.

“Kategori separuh mahir pula merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus kepada RM2,714 berbanding RM2,604 pada tahun sebelumnya, manakala kategori itu menyumbang 55.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji.

“Bagi kategori berkemahiran rendah, purata gaji dan upah bulanan meningkat 2.6 peratus kepada RM2,184 berbanding RM2,128 pada 2024,” ujarnya.

Dari segi jantina, penerima gaji lelaki berjumlah 6.08 juta orang atau 58.6 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia.

“Purata gaji dan upah bulanan lelaki meningkat 4.3 peratus kepada RM3,921 berbanding RM3,759 pada 2024, manakala perempuan mencatatkan peningkatan 3.9 peratus kepada RM3,635 daripada RM3,499.

“Mengikut negeri, Selangor mencatatkan sumbangan penerima gaji tertinggi sebanyak 25.6 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia, diikuti Johor (13.6 peratus) dan Sarawak (7.6 peratus).

“Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM5,417, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4,955) dan Selangor (RM4,258),” jelasnya.

Lima negeri mencatatkan purata gaji dan upah bulanan melebihi paras nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang (RM3,912) dan Wilayah Persekutuan Labuan (RM3,887).

DOSM berkata, pertumbuhan positif purata dan penengah gaji dan upah bulanan pada 2025 mencerminkan perkembangan lebih baik dalam pasaran buruh serta pendapatan pekerja.

“Menuju ke hadapan, usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh kemahiran dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi adalah penting bagi menyokong pertumbuhan gaji benar yang mampan serta kesejahteraan pekerja.

“Selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), pembangunan tenaga buruh yang berdaya saing dan produktif serta pengukuhan reformasi pasaran buruh adalah penting bagi menyokong pertumbuhan gaji yang mampan dan inklusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×