Pulang selepas Qiamulail, anggota tentera maut nahas - Utusan Malaysia

Pulang selepas Qiamulail, anggota tentera maut nahas

KEMALANGAN mengorbankan seorang anggota tentera di simpang tiga Lebuh Meru Raya di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang anggota tentera dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2RRD) Ipoh maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang tiga Lebuh Meru Raya, di sini hari ini.

Mangsa, Lans Koperal Nasiruddin Hussin, 23, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 8.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, nahas membabitkan sebuah Perodua Myvi dan motosikal Honda RS ditunggang mangsa itu berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dipandu wanita berusia 21 tahun itu membelok keluar dari simpang lalu berlaku pelanggaran dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.50 pagi ketika menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Najib berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk kemungkinan faktor titik buta pandangan pemandu,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu siasatan.

Difahamkan, mangsa ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Chepor Jaya selepas selesai mengikuti Program Qiamulail Perdana di Masjid An Nur Gua Permai, Kem Syed Putra di sini.

Mangsa dikatakan mahu menukar pakaian sebelum kembali ke kem bagi melaksanakan tugas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×