JOHOR BAHRU: Penubuhan Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Razak bukannya bertujuan ‘menghalalkan rasuah’, sebaliknya wujud atas dasar kesukarelaan rakyat yang menghargai jasa bekas Perdana Menteri itu.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, inisiatif kutipan tabung tersebut tidak mengandungi sebarang unsur paksaan, malah ia sama seperti konsep Tabung Harapan (PH) yang pernah diwujudkan sebelum ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu, sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan dan solidariti pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan usahawan dan individu persendirian terhadap kepimpinan Najib yang banyak membantu rakyat, khususnya golongan B40.
“Bagi saya, siapa sahaja yang mahu menderma, ini menunjukkan satu solidariti kepada Datuk Seri Najib. Rakyat melihat jasa beliau ketika menjadi Perdana Menteri, khususnya golongan B40 yang terkesan dengan inisiatif seperti Klinik 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Inisiatif ini tidak memaksa mana-mana pihak. Sasaran amaun RM50 juta itu satu jumlah yang besar, jadi kalau ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan, kita terima secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Anugerah Belia Cemerlang JCI 2026 di Hotel Sharaton, di sini malam tadi.
Turut hadir Presiden Junior Chamber International (JCI), Senator Vincent Leng.
Terdahulu Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean mendakwa Tabung Solidariti Najib Razak adalah ‘jarum halus’ UMNO untuk menghalalkan rasuah.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada UMNO sedang melazimkan budaya bahawa rasuah boleh dimaafkan apabila melibatkan pemimpin yang disokong.
Jumaat lalu, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi mengumpul RM50 juta untuk membantu bekas Presiden UMNO itu melunaskan denda yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat diterimanya.
Ditanya mengenai andaian bahawa isu berkenaan memberi imej buruk kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), Mohd. Hairi menegaskan agar pihak luar tidak bersikap double standard (pilih kasih).
Beliau mengingatkan bahawa Perdana Menteri hari ini juga pernah dibebaskan menerusi Pengampunan Diraja oleh Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong ketika sedang menjalani hukuman penjara.
“Mana mungkin kuasa Perlembagaan melebihi apa yang diberikan menerusi titah Tuanku Agong. Tiada mana-mana pihak yang boleh mengatasinya.
“Lagipun, Datuk Seri Najib hari ini bukannya dibebaskan sepenuhnya, cuma diberikan tahanan di rumah (house arrest). Dengan denda RM50 juta yang merupakan satu amaun yang sangat besar, kita tidak wajar memberikan pandangan buruk kepada beliau yang banyak berjasa kepada negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak pandangan bahawa isu berkaitan Najib akan menjadi ‘bola tanggung’ atau modal politik kepada PH menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sebaliknya, beliau menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO dan BN di bawah Presiden parti untuk merangka strategi terbaik bagi mengembalikan sokongan rakyat. – UTUSAN











