Penyeludup dikhuatiri lemas terjun Sungai Golok elak ditangkap

Penyeludup dikhuatiri lemas terjun Sungai Golok elak ditangkap

LOKASI kejadian seorang penyeludp dikhuatiri lemas semasa melarikan selepas diserbu anggota PGA kawasan stor haram Ngoh, Pisau Raut, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Gara-gara cuba meloloskan diri daripada ditangkap, dua lelaki dipercayai penyeludup beras terjun ke Sungai Golok sebelum seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian berhampiran stor haram Pok Ngoh, Pisau Raut di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu, kedua-dua suspek dipercayai panik selepas terserempak dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Cawangan Risik Bata­lion 8 PGA mengesan sebuah perahu enjin galah menghampiri tebing sungai sebelum me­lakukan pemeriksaan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan, kedua-dua lelaki terbabit bertindak terjun ke dalam sungai dan cuba berenang menuju ke arah Thailand.

“Seorang suspek berjaya sampai ke tebing, manakala seorang lagi tenggelam sebelum hilang daripada pandangan dan dikhuatiri lemas.

“Anggota cuba mengendalikan perahu berkenaan bagi membantu mangsa, namun kipas enjin tersangkut pada kain menyebabkan perahu tidak dapat digunakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Hasil pemeriksaan terhadap perahu itu menemukan 1,178 kilogram (kg) beras dan 100 kg beras pulut yang dipercayai diseludup dari Thailand.

Ahmad Radzi berkata, operasi mencari dan mengesan suspek yang hilang itu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

Menurutnya, kesemua rampasan diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×