BENTONG: Polis menahan seorang individu bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik di sini semalam, yang mengorbankan seorang penunggang motosikal.
Susulan tangkapan itu, polis akan memohon perintah reman terhadap individu berkenaan di Mahkamah Bentong di sini hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar, sebelum ini berkata, kemalangan kira-kira 7.30 pagi itu membabitkan sebuah Perodua Myvi, Honda HR-V dan motosikal Modenas Versys.
Dalam kejadian itu, katanya, penunggang motosikal, Fazlizal Abdul Samad, 41, tercampak ke bahu jalan sebelah kiri arah Mempaga dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Honda HR-V dan motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Sertik menuju Mempaga apabila sebuah Perodua Myvi dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong perjalanan kedua-dua kenderaan itu.
“Pemandu Honda HR-V cuba mengelak ke sebelah kiri, namun pelanggaran berlaku dengan Perodua Myvi pada bahagian sisi kanan. Motosikal yang berada di belakang Honda HR-V turut dilanggar Perodua Myvi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zaiham berkata, pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi dipercayai meninggalkan kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran. – UTUSAN










