PETALING JAYA: Polis menahan seorang pemandu bas Rapid KL bagi membantu siasatan kes kemalangan maut di Subang Jaya dekat sini, Isnin lalu.
Keterangan pemandu bas berusia 29 tahun itu diambil bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek direman sehari dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Ujian alkohol dan saringan air kencing didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.19 pagi, seorang lelaki berusia 19 tahun maut manakala seorang lagi cedera selepas dilanggar sebuah bas Rapid KL yang dalam perjalanan ke Subang Mewah.
Rapid KL memaklumkan, ketika melalui Persiaran Subang Permai, bas itu melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.
Rapid KL akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan. – UTUSAN











