Pertanian moden kini semakin menjadi pilihan generasi muda apabila bidang itu tidak lagi dilihat sekadar kerja ladang, sebaliknya membuka peluang dalam bioteknologi, landskap, penyelidikan, inovasi makanan dan keusahawanan.
Pelajar Diploma Bioteknologi Politeknik Nilai, Dannie Asyheera Mohd Rakah, 19, berkata, bidang itu dipilih kerana mahu mendalami sektor yang bersifat amali serta mempunyai kaitan langsung dengan keselamatan makanan negara.
Dannie Asyhera berkata, bioteknologi pertanian mempunyai potensi besar kerana negara masih bergantung kepada import makanan dari luar.
“Majoriti makanan kita diimport dari negara luar.

“Oleh itu, apabila kita mampu meningkatkan sekuriti makanan negara sendiri, itu perkara yang sangat bagus untuk negara,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Katanya, bidang bioteknologi pertanian bukan hanya tertumpu kepada tanaman, tetapi turut melibatkan kajian dan usaha menambah baik hasil pertanian supaya lebih sesuai dengan keperluan semasa.
Katanya, kaedah itu penting kerana tidak semua tanaman sesuai dengan keadaan iklim tertentu, namun bioteknologi mampu membantu mengolah dan memperbaiki hasil pertanian.
“Bioteknologi mampu mengkaji dan meningkatkan makanan di negara kita. pertanian yang ada kelemahan sendiri, terutama apabila tanaman itu perlukan iklim berbeza.

“Apabila kita mampu mengubah dan mengolah pertanian itu, ia akan membantu kita dalam banyak aspek terutama dari segi pemakanan,” katanya.
Dannie Asyheera berkata, bidang itu juga mempunyai prospek kerjaya yang baik kerana permintaan terhadap bioteknologi semakin meningkat di negara ini.
Katanya, generasi muda tidak seharusnya menganggap pertanian sebagai bidang yang terbatas kepada kerja bercucuk tanam semata-mata.
“Kita ambil Diploma Bioteknologi, tapi tidak semestinya kita kena bercucuk tanam.
“Kita boleh jadi orang yang mencari tahu apa yang boleh diolah dalam pertanian dan ilmu itu boleh dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata, antara kerjaya yang ingin diceburi selepas tamat pengajian ialah sebagai penyelidik dalam bidang pertanian.
Katanya, penyelidikan dalam sektor itu mampu membantu negara menghasilkan tanaman yang lebih cepat tumbuh dan boleh dikeluarkan dalam tempoh lebih singkat.
“Saya boleh jadi penyelidik, cari tahu macam mana nak kembangkan sesuatu tanaman supaya cepat tumbuh dan senang dijana dalam masa pendek.
“Jadi, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada import dari negara luar,” katanya.
Dannie berkata, tanggapan bahawa pertanian adalah kerja panas dan memenatkan juga semakin berubah kerana kemajuan teknologi sudah memudahkan banyak proses dalam sektor itu.
Katanya, penggunaan mesin dan teknologi moden menjadikan bidang pertanian lebih menarik kepada golongan muda.
“Ramai mula-mula bersangka buruk terhadap pertanian sebab fikir penat dan perlu bertani panas-panas.
“Tapi sekarang teknologi sudah maju dan orang bertani pun menggunakan mesin.
“Oleh itu, perkara ini sudah jadi lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, pelajar Diploma Hortikultur Landskap, Nur Alya Isnen, 19, pula berkata, bidang pertanian dan landskap bukan pilihan terakhir kerana ia turut menawarkan laluan pekerjaan yang luas.
Katanya, beliau memilih bidang itu bagi mendapatkan pengalaman praktikal selain melihat sektor landskap mempunyai nilai kerjaya tersendiri.
“Saya masuk bidang ini untuk ambil pengalaman.

“Saya tertarik sebab pendapatan dalam kerjaya landskap, terutama pengurus kerja, agak tinggi,” katanya.
Nur Alya berkata, bidang landskap bukan hanya berkaitan kerja menanam pokok, tetapi turut melibatkan reka bentuk, pengurusan persekitaran, pemilihan tanaman dan penggunaan teknologi reka bentuk.
Katanya, pelajar landskap mempelajari kemahiran praktikal termasuk mereka bentuk kawasan rumah dan persekitaran menggunakan kaedah semasa.
“Saya belajar reka bentuk landskap untuk rumah atau persekitaran.
“Kami juga belajar jenis pokok dan perkara yang memang melibatkan landskap,” katanya.
Katanya, graduan dalam bidang itu boleh membina perniagaan sendiri, menyertai syarikat landskap atau memegang jawatan lebih tinggi dalam industri berkaitan.
Katanya, persepsi masyarakat bahawa graduan pertanian hanya akan menjadi petani atau pekerja ladang perlu diperbetulkan.
“Selain kerja ladang, ada graduan yang buat landskap sendiri.
“Ada juga yang menjadi atasan dalam syarikat landskap,” katanya.


Nur Alya berkata, minat generasi muda terhadap bidang pertanian dan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) boleh terus meningkat jika pelajar baharu diberi pendedahan yang betul.
Katanya, persepsi negatif terhadap politeknik juga tidak wajar dijadikan halangan kepada pelajar untuk memilih laluan kemahiran.
“Untuk yang baru nak masuk politeknik, ambil yang positif sahaja.
“Ada banyak perkara baik yang boleh dipelajari dan pelajar sendiri kena hadap pengalaman itu,” katanya.
Pensyarah Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri, Politeknik Nilai, Nurul Aesyah Ismail Chong berkata, peningkatan minat pelajar dalam bidang pertanian menunjukkan generasi muda mula melihat sektor itu sebagai kerjaya masa depan.

Beliau berkata, pelajar kini lebih tertarik kepada bidang pertanian kerana ia digabungkan dengan teknologi seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), automasi dan sistem pertanian pintar.
Katanya, permintaan terhadap bidang itu juga semakin meningkat apabila ambilan pelajar bertambah daripada satu kelas kepada dua kelas.
“Generasi muda mula nampak pertanian bukan sekadar kerja berat atau pegang cangkul.
“Bidang ini ada teknologi, peluang keusahawanan dan boleh menjana pendapatan lebih besar,” katanya.
Nurul Aesyah berkata, graduan pertanian kini boleh bekerja dalam pelbagai sektor termasuk penyelidikan, pemasaran produk agro, pengurusan projek teknologi pertanian, kawalan kualiti, keusahawanan dan penciptaan produk baharu.
Katanya, peningkatan bilangan pelajar dalam bidang pertanian juga penting bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara dalam jangka panjang.
“Pertanian bukan lagi tentang cangkul dan kebun semata-mata. Ia adalah gabungan sains, teknologi dan perniagaan,” katanya. –UTUSAN









