Pasaran hartanah catat RM105.12 bilion pada separuh pertama - Utusan Malaysia

Pasaran hartanah catat RM105.12 bilion pada separuh pertama

KEDIAMAN siap dibina yang belum terjual meningkat kepada 33,094 unit bernilai RM17.78 bilion berbanding 30,471 unit bernilai RM17.73 bilion pada 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran hartanah negara bagi separuh pertama 2026 kekal berdaya tahan apabila mencatatkan sebanyak 187,320 transaksi dengan nilai keseluruhan mencecah RM105.12 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kestabilan pasaran itu didorong oleh aktiviti transaksi dan pergerakan harga yang teguh serta kadar polisi semalaman (OPR) yang dikekalkan pada paras 2.75 peratus.

Beliau berkata, subsektor kediaman terus menjadi pemacu utama pasaran apabila mendominasi 59.3 peratus daripada keseluruhan bilangan transaksi menerusi 110,998 transaksi bernilai RM47.11 bilion.

“Bagi pelancaran baharu, sebanyak 27,832 unit kediaman dilancarkan ke pasaran dengan prestasi jualan 16.6 peratus, manakala Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) merekodkan pertumbuhan marginal 0.9 peratus kepada 234.7 mata dengan purata harga RM506,317 seunit.

“Bagi segmen komersial, kadar penghunian pejabat binaan khas meningkat kepada 78.5 peratus, manakala kompleks perniagaan kekal stabil pada 77.9 peratus. Segmen industri turut berkembang 3.8 peratus melibatkan 3,932 transaksi bernilai RM14.78 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2026 dan Laporan-laporan lain di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini semalam.

Meskipun pasaran menunjukkan ketahanan, beliau berkata, kediaman siap dibina yang belum terjual meningkat kepada 33,094 unit bernilai RM17.78 bilion berbanding 30,471 unit bernilai RM17.73 bilion pada 2025. 

“Isu unit tidak terjual ini bukan sahaja melibatkan rumah berharga tinggi, tetapi turut ketara dalam segmen mampu milik dan harga pertengahan.

“Malah, segmen pangsapuri khidmat turut mencatatkan peningkatan kepada 23,375 unit siap belum terjual bernilai RM19.33 bilion yang mana lebih 55.0 peratus daripadanya tertumpu pada julat harga antara RM500,001 hingga RM1 juta,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan sepenuhnya sistem data raya Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi memastikan perancangan projek berlandaskan permintaan sebenar.

Beliau turut menyeru pembekal data untuk terus menyalurkan maklumat tepat kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta NAPIC bagi menyokong pembentukan polisi sektor harta tanah negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×