PETALING JAYA: Pas berdepan cabaran besar untuk menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak dibenarkan menggunakan lambang gabungan itu, susulan perintah penggantungan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, penggunaan lambang parti komponen secara berasingan boleh menjejaskan kekuatan identiti PN yang selama ini dikenali pengundi.
“Pas tidak boleh guna lambang PN, jadi tidak ada pilihan bagi Pas untuk gunakan lambang Pas. Tetapi di Melaka, lambang Pas tidak popular dan ia boleh menyebabkan pengundi tidak mengundi.
“Dari sudut strategi pilihan raya, kesannya jika PN tidak dapat menggunakan lambang dan komponen-komponennya bertanding secara individu, peluang untuk menang itu agak rendah kerana jenama PN ini satu jenama yang memang sudah dikenali ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Mazlan, keadaan itu juga boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengundi sekiranya Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri.
“Rakyat sudah kenal PN, tetapi sekarang tidak boleh guna. Bila Pas guna lambang Pas, Gerakan guna lambang Gerakan dan MIPP guna lambang MIPP, ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengundi.
“Pengundi mungkin tidak biasa dengan lambang Gerakan atau MIPP kerana mereka sudah biasa dengan lambang PN. Jadi dari segi strategi, nampak ada kekurangan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, isu penggunaan lambang PN turut mempunyai kaitan langsung dengan penyelarasan kerusi antara parti-parti yang membentuk gabungan tersebut.
“Jika lambang PN tidak dapat digunakan dan rundingan kerusi tidak diselaraskan dengan baik, risiko pertandingan banyak penjuru meningkat.
“Sebab itu isu ini bukan sekadar soal lambang, tetapi soal formula kerusi, calon, jentera dan persepsi pengundi. Dalam PRN yang kompetitif, sedikit perpecahan undi boleh mengubah dinamik di sesuatu kawasan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan PN berdepan kemungkinan tidak dapat bertanding pada PRN Melaka susulan perintah penggantungan yang dikeluarkan RoS.
Perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa Rabu lalu sehingga tempoh yang tidak ditetapkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status gabungan itu untuk menyertai PRN Melaka yang akan datang.-UTUSAN











