TUMPAT: “Yang penting saya hadir lapor diri dulu di Universiti Malaya (UM) nanti.
Itu nekad Nur Shafiqah Syamimi Zainudi, 20, yang tekad mahu melanjutkan pengajian Sarjana Muda Linguistik di universiti berkenaan walaupun wang untuk membayar yuran sebanyak RM1,140.80 masih belum mencukupi.
Nur Shafiqah Syamimi berkata, dia perlu melaporkan diri di UM, Kuala Lumpur pada Sabtu ini selepas menerima tawaran pengajian berkenaan.
Katanya, setakat ini hanya RM800 wang tunai hasil sumbangan orang kampung dan saudara-mara berjaya dikumpulkan, namun separuh daripadanya sudah diguna untuk membeli pakaian dan beg sebagai persiapan ke universiti.
“Mujur komputer riba sudah ada yang disumbangkan hasil usaha NGO Third Force. Saya akan memohon penangguhan bayaran yuran jika masih tidak mampu sediakan jumlah berkenaan pada tarikh pendaftaran.
“Soal bayaran yuran itu saya akan fikir kemudian. Saya tahu ayah tiri dan ibu saya tidak mampu mengumpulkan wang sebanyak itu dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Talak semalam
Nur Shafiqah Syamimi berkata, jika yuran masih tidak dapat disediakan, dia akan memohon pinjaman pengajian daripada mana-mana sumber demi memastikan peluang melanjutkan pengajian tidak terkubur.
Katanya, sebaik pinjaman diluluskan, dia akan menjelaskan yuran tertangguh selain bayaran yuran asrama.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 03148023967635 atas nama Nur Shafiqah Syamimi Zainudin. – UTUSAN











