JAKARTA: Malaysia bersedia menghantar sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu, khususnya di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu dikemukakan secara rasmi kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dalam pertemuan semalam, bagi membolehkan Malaysia membantu usaha memadam kebakaran dengan menyiram air di kawasan terbakar, tertakluk kepada keizinan Indonesia.
Katanya, pesawat Bombardier akan digunakan untuk membawa air dari tasik, laut atau sungai sebelum disiram ke kawasan terbakar manakala tiga helikopter turut disediakan untuk melaksanakan operasi sama.
“Malaysia sangat prihatin terhadap permasalahan yang berlaku ini kerana ia berlaku setiap tahun sama ada pembakaran secara terbuka di Kalimantan atau Sumatera dan jerebu itu datang ke Malaysia.
“Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Ahmad Zahid berkata, 52 pegawai dan anggota yang disediakan terdiri daripada agensi pengurusan bencana termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, usaha berkenaan bukan bertujuan mencampuri urusan Indonesia, sebaliknya sebagai langkah membantu menangani masalah jerebu rentas sempadan.
“Kami tidak berhasrat untuk campur dalam hal ehwal Indonesia tetapi kami berhasrat untuk membantu supaya masalah jerebu yang datang ke Sarawak khususnya dapat diselesaikan dengan segera.
“Pada masa sama, kita akan terus membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia melalui langkah-langkah hubungan diplomatik yang khusus kerana masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua negara juga perlu mengelak sebarang tindakan saling menyalahkan, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian dan langkah mitigasi bagi mengelakkan masalah sama berulang setiap tahun.
“Yang penting ialah bagi kita menyelesaikan masalah ini sebelum ia berlaku setiap tahun. Ertinya mitigation plan atau perancangan untuk melakukan supaya ia tidak berlaku.
“Mitigation plan ini dilakukan demi kepentingan kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia mempunyai hubungan kerjasama rapat dengan pasukan pengurusan bencana Indonesia menerusi pertemuan, latihan bersama serta penglibatan dalam usaha pengurusan bencana serantau.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan lawatan beliau ke ASEAN Centre of Disaster Management di Jakarta sebelum ini.
“Jadi kami sering mengadakan pertemuan dan mengadakan kerjasama dan latihan bersama,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, lawatan rasminya ke Indonesia turut dimanfaatkan bagi membincangkan kerjasama dalam pembangunan luar bandar serta beberapa bidang lain yang akan dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) melibatkan lapan bidang.
Ahmad Zahid turut mengundang Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia, Yandri Susanto untuk berkunjung ke Malaysia bagi melihat sendiri pelaksanaan pembangunan luar bandar negara. – UTUSAN










